Annuar pun dua kali gagal tawan Kelantan - UMNO Kelantan

Zawawi
Zawawi
A
A
A

KOTA BHARU - UMNO Kelantan menyifatkan Tan Sri Annuar Musa sebagai 'pelupa' apabila beliau pernah gagal membantu parti itu menawan Kelantan daripada Pas semasa menjadi Pengerusi Barisan Nasional (BN) bermula 1994 hingga 2001.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Zawawi Othman berkata, lebih menyedihkan lagi kegagalan itu berlaku dua kali berturut-turut semasa diberi mandat menerajui kepimpinan parti di negeri ini.

"Kegagalan ini juga harus dipertanggungjawabkan kepada beliau.

"Mungkin Pas memikirkan kemasukan Annuar menguatkan parti itu untuk menghalang gelombang kemarahan rakyat terhadap isu air, tanah dan nepotisme melibatkan lantikan dalam jawatan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Reaksi itu diberikan bagi menjawab kenyataan Annuar yang menyindir kegagalan 34 tahun UMNO ikrar rampas Kelantan tapi kalah juga.

Zawawi memberitahu, pihaknya menjangkakan penyertaan Annuar ke dalam Pas dan Perikatan Nasional (PN) berdasarkan kecenderungan tokoh itu sebelum ini yang mengutamakan arahan Tan Sri Muhyiddin Yassin melebihi daripada ketetapan parti sendiri.

"Insya-ALLAH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini gabungan Kerajaan Perpaduan akan memberikan tawaran terbaik kepada para pengundi di Kelantan dalam memajukan negeri ini dari segi kemudahan asas dan sosioekonomi rakyat.

"Kepada ALLAH kami berserah yang menentukan masa yang tepat untuk kami mentadbir Kelantan," katanya.