Suami maut, isteri cedera, lori terbalik dilanggar kereta

Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam lori satu tan berkenaan. - Foto Bomba Tangkak
Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam lori satu tan berkenaan. - Foto Bomba Tangkak
A
A
A

TANGKAK - Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera selepas lori yang dinaiki terbalik dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 150 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, di sini pada Ahad.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintenden Idris Abdul Rahman, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam sekitar 10 pagi yang memaklumkan mengenai kemalangan yang melibatkan sebuah lori satu tan dengan sebuah kereta Proton Saga di laluan berkenaan.

“Hasil siasatan, kemalangan dipercayai berpunca apabila kereta Proton Saga dalam perjalanan ke Kempas itu cuba mengubah haluan ke lorong kanan di KM150 kerana lori (satu tan) yang bergerak agak perlahan di lorong kiri.

“Bagaimanapun, oleh kerana jarak yang terlalu dekat, kereta Proton Saga itu telah terlanggar bahagian belakang sebelah kanan lori menyebabkan pemandu lori hilang kawalan lalu terbabas keluar ke kiri jalan.

Anggota bomba mengusung mangsa kemalangan berkenaan. - Foto Bomba Tangkak
Anggota bomba mengusung mangsa kemalangan berkenaan. - Foto Bomba Tangkak

“Akibat kemalangan itu, pemandu lori berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Tambah Idris, penumpang wanita yang juga merupakan isteri kepada pemandu lori berkenaan, turut mengalami kecederaan... bagaimanapun pemandu kereta Proton Saga FLX itu selamat.

Keadaan kereta Proton Saga yang terlibat dalam kemalangan berkenaan. - Foto Bomba Tangkak
Keadaan kereta Proton Saga yang terlibat dalam kemalangan berkenaan. - Foto Bomba Tangkak

Wanita berkenaan kini berada Hospital Pakar Sultanah Aminah Muar bagi menerima rawatan lanjut.

Tambah Idris, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan II Jahairi Shukor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 9.13 pagi.

Susulan itu katanya, seramai 13 anggota dibantu sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah Fire Response Vehicle (FRV ) dihantar ke lokasi.

Keadaan lori satu tan yang terbalik dalam kemalangan berkenaan - Foto Bomba Tangkak
Keadaan lori satu tan yang terbalik dalam kemalangan berkenaan - Foto Bomba Tangkak

“Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori Toyota Dyna satu tan dan sebuah kereta Proton Saga FLX. Pemandu lori telah tersepit dan dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan ‘hydraulik cutter.’

“Bagaimanapun, pemandu lori berkenaan yang berusia 43 tahun meninggal dunia dan disahkan oleh pegawai perubatan yang hadir memberi rawatan awal.

“Operasi menyelamat mangsa selesai pada jam 10.03 pagi,” katanya.