City takluk Eropah

Pemain City meraikan kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara. FOTO: AFP
Pemain City meraikan kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara. FOTO: AFP
A
A
A

MANCHESTER City akhirnya berjaya memenangi trofi Liga Juara-Juara selepas jaringan Rodri pada separuh masa kedua memberikan kemenangan 1-0 ke atas Inter Milan dalam perlawanan akhir di Istanbul pada awal pagi Ahad.

Ia sekali gus menyaksikan skuad kendalian Pep Guardiola itu melengkapkan kejuaraan treble yang diidamkan mereka dalam aksi yang berlangsung di Stadium Olimpik Ataturk itu.

"Ia tidak mudah dan pasukan yang kami hadapi sukar dipercayai," kata Rodri.

Setelah merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris kelima dalam enam musim dan Piala FA, City menjadi kelab Inggeris yang memenangi treble itu sejak Manchester United melakukannya pada 1999.

Ia juga adalah gelaran Liga Juara-Juara ketiga buat pengendali City, Pep Guardiola yang memenanginya sebanyak dua kali bersama Barcelona.

"Saya fikir kami mencipta sejarah. Perkara yang baik ialah kami mahukan lebih banyak kejuaraan lagi," katanya.

Inter yang dalam laluan untuk meraih trofi buat kali keempat menampilkan persembahan berkualiti dan berjaya menyekat serangan City pada separuh masa pertama dengan perancang utama The Citizen, Kevin De Bruyne mengalami kecederaan.

Pemain Belgium itu turut menerima nasib sama ketika City tewas pada final Liga Juara-Juara 2021 di tangan Chelsea

Malah, mesin gol City, Erling Haaland turut gagal menemui sentuhan gol sepanjang perlawanan dengan Rodri hadir sebagai pemusnah melalui jaringan pada minit ke-68.