Tirai PAU 2023 berlabuh, tiada lagi gema 'No Anwar, No DAP'

Para perwakilan bersemangat mengibarkan bendera UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Jumaat.
Para perwakilan bersemangat mengibarkan bendera UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) telah pun selesai dan ditangguhkan buat sesi 2023 pada Sabtu.

Perhimpunan pertama kali semenjak tertubuhnya Kerajaan Perpaduan telah menukilkan corat-coret, baik dalam kalangan pemimpin mahupun ahli.

Apa yang lebih mengejutkan adalah kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke acara kumpulan ultra-Melayu itu yang selama ini disifatkan hampir mustahil.

Tiada siapa menyangka selepas dipecat daripada UMNO lebih dua dekad lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tersebut akan menjejakkan kaki untuk bertentang mata dengan kesemua ahli parti tersebut.

Beliau yang merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pernah menabur bakti di dalam UMNO semenjak 1982 sehingga ditamatkan secara sadis pada 1998.

Kehadiran beliau secara tidak langsung membuktikan tiada pihak yang akan menjadi musuh atau kawan selama-lamanya dalam dunia politik.

Laungan ‘No Anwar, No DAP’ sudah pun rasmi menjadi kenangan yang akan tetap terpahat menerusi pertemuan tersebut.

Penampilan Ahli Parlimen Tambun itu turut menandakan berakhirnya pertelingkahan besar antara PH dengan UMNO buat masa sekarang.

Kedua-dua penyandang pimpinan kerajaan tersebut pastinya sedang memfokuskan strategi ‘perang besar’ dengan lawan utamanya iaitu Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bagaimanapun, ketidakpuasan hati daripada kalangan bekas pimpinan UMNO yang dipecat sebelum ini dijangka menjadi cabaran buat keutuhan mereka.

Meskipun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa pihaknya bersedia menerima kembali ahli yang dikenakan tindakan disiplin iaitu dipecat atau digantung daripada parti, namun ia masih menimbulkan pelbagai persoalan.

Adakah tawaran itu benar-benar merupakan penerimaan atau sekadar desakan daripada perwakilan?

Adakah ia bakal menampilkan kembali bekas pimpinan UMNO termasuk Tan Sri Noh Omar, Shahril Sufian Hamdan dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam pentas parti tersebut atau sebaliknya.

Umum mengetahui, situasi dingin parti berkenaan bertiup kencang semenjak tertubuhnya Kerajaan Perpaduan pada Disember lalu.

Tiada siapa dapat meramalkan parti konservatif itu mengikat kerjasama bersama PH yang jauh daripada falsafahnya.

Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan beliau tidak akan sesekali kembali bersama parti berkenaan meskipun ditawarkan jawatan atau imbuhan.

Ujarnya, ahli UMNO yang dipecat sepatutnya tidak menerima tawaran keahlian jika mereka berpegang kepada prinsip maruah.

Hujah beliau pastinya membawa satu isyarat besar-besaran buat mana-mana bekas pimpinan yang bakal menjadi liabiliti buat parti itu pada PRN akan datang.

Ia bukan sesuatu yang mustahil memandangkan hampir kesemua dalam kalangan mereka telah mengetahui segala selok-belok dan strategi UMNO yang pernah digunakan sebelum ini bagi meraih sokongan dan dukungan.