Kejayaan Malaysia dalam kes tuntutan Sulu bukti kebenaran dibawa negara

Dr Zambry Abdul Kadir
Dr Zambry Abdul Kadir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kejayaan Malaysia dalam pertikaian undang-undang di Perancis berkaitan tuntutan kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu semalam, menjadi bukti kebenaran negara dalam mempertahankan hak dan kedaulatan negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kemenangan itu menunjukkan bahawa kes yang dibawa Malaysia adalah benar dan tepat, manakala kes yang dibawa pihak berkenaan adalah usaha yang dibuat untuk kepentingan pihak tertentu.

"Saya turut adakan pertemuan dengan Menteri Luar Perancis sebelum ini, menjelaskan tentang pendirian Malaysia dan kedudukan wilayah Malaysia.

"Pihak Perancis sependapat dengan pendirian Malaysia berdasarkan kedudukan Malaysia, hak-hak Malaysia telahpun diiktiraf di peringkat antarabangsa berdasarkan undang-undang antarabangsa," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Menurutnya, kerjasama yang baik antara kementerian berhubung isu itu dengan diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said telah berjaya menghasilkan satu keputusan yang cukup bermakna kepada negara.

Semalam, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar sebahagian award yang diputuskan oleh Dr Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020 dalam kes tuntutan lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Ekoran keputusan itu penuntut tidak boleh bergantung kepada award yang diputuskan di Perancis itu untuk sebarang tujuan.

Kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu itu dilaporkan mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah, yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada syarikat perdagangan British pada 1878.

Mereka kemudian membawa perkara itu kepada penimbang tara Sepanyol pada 2019 dan penimbang tara terbabit iaitu Stampa, telah membuat keputusan memihak kepada mereka.

Stampa telah mengeluarkan award akhir berjumlah AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia, dan Malaysia telah menggunakan segala remedi perundangan untuk membatalkan award itu di mahkamah-mahkamah di Sepanyol, Perancis, Luxembourg serta Belanda.

Pada 14 Mac lepas, Mahkamah Rayuan Paris telah mengekalkan perintah penggantungan yang diperoleh kerajaan Malaysian di Perancis pada 12 Julai 2022 terhadap penguatkuasaan award itu.

Justeru, perintah penggantungan yang diperoleh Malaysia berhubung penguatkuasaan award itu adalah kekal. - Bernama