'Najib sentiasa fikirkan rakyat, itulah suami saya' - Rosmah

Rosmah Mansor ketika ditemubual media selepas menghadiri PAU 2023 di Dewan Merdeka, WTCKL pada Sabtu.
Rosmah Mansor ketika ditemubual media selepas menghadiri PAU 2023 di Dewan Merdeka, WTCKL pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa fikirkan rakyat dan negara, itulah suami saya," luah Datin Seri Rosmah Mansor.

Isteri bekas Perdana Menteri itu meluahkan rasa sedih kerana ini merupakan kali kedua Najib tidak berada bersama mereka semasa Persidangan Agung UMNO (PAU) 2023.

"Kadang-kadang saya bayangkan ketika dia menjadi Presiden UMNO dan bagaimana dia duduk di atas itu memikirkan apa lagi nak bercakap serta apa yang boleh buat untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia.

"Najib selalu fikirkan rakyat dan negara. Kadang-kadang dia termenung dan saya sentiasa tanyakan apa yang dia fikirkan.

"Dia beritahu pada saya apa lagi rakyat tak cukup, apa lagi negara ini tak cukup yang sepatutnya diberi dan itulah suami saya. Walaupun dia dalam kereta sebelum 'function' (acara), dia sentiasa fikirkan rakyat dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri PAU 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Pada Khamis, tangisan para perwakilan mengiringi pemberian Anugerah Tokoh Pemuda 2023 kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang pernah memimpin sayap itu dari tahun 1987 hingga 1993 diberikan penghargaan atas kecekalannya berdepan cabaran dalam politik dan pembunuhan karakter sehingga dipenjarakan.

Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapinya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Rosmah berkata, beliau terharu atas sokongan dibuat oleh ahli-ahli UMNO yang mengingati perjuangan Najib selama ini.

"Saya dapat merasai betapa mereka (ahli UMNO) menghayati perjuangan suami saya dan selama ini mereka tahu Najib tidak mendapat perbicaraan adil serta berharap dia dapar keluar (penjara) secepat mungkin.

"Jadi ia adalah salah satu manifestasi dari pihak mereka yang inginkan Najib mendapat keadilan dan saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang perjuangkan keadilan bukan sahaja untuk Najib tetapi semua orang dalam negara," ujarnya.