Janna Nick sah jadi isteri Dini Schatzmann dengan sekali lafaz

Majlis yang mendapat sentuhan rekaan The Calla itu dihadiri oleh ahli keluarga, rakan selebriti dan sahabat karib pasangan dua sejoli tersebut. - Foto Janna Nick
Majlis yang mendapat sentuhan rekaan The Calla itu dihadiri oleh ahli keluarga, rakan selebriti dan sahabat karib pasangan dua sejoli tersebut. - Foto Janna Nick
A
A
A

PELAKON Janna Nick sah menjadi isteri kepada aktor Dini Schatzmann dalam majlis pernikahan yang diadakan di sebuah masjid di Langkawi, kira-kira pukul 8.35 pagi, Sabtu.

Memetik laporan Gempak, dengan sekali lafaz, Dini dan Janna dinikahkan oleh Pengerusi Masjid Aisyah, Haji Othman Yahya, berwalikan bapa kepada aktres itu dan bersaksikan sepupu pengantin perempuan, Amir Fikri serta Amar Fikri.

Dalam majlis serba indah yang berlangsung di Masjid Aisyah, Dini turut menyerahkan mas kahwin RM2,703 kepada Janna dan seutas rantai emas.

Jumlah mas kahwin tersebut adalah simbolik tarikh perkenalan mereka pada 27 Mac 2019.

Majlis yang mendapat sentuhan rekaan The Calla itu dihadiri oleh ahli keluarga, rakan selebriti dan sahabat karib pasangan dua sejoli tersebut.

Antara rakan artis yang hadir ke majlis tersebut adalah Izzue Islam, Nora Danish, Ain Edruce, Puteri Sarah Liyana, Nadia Brian, Mawar Rashid, Dayah Bakar dan ramai lagi.

Pasangan tersebut seterusnya diraikan dalam sebuah majlis resepsi yang berlangsung di sebuah resort terkemuka di Langkawi.

Malam tadi berlangsung majlis doa selamat dan bacaan yassin yang turut dihadiri penceramah, Ustaz Wadi Annuar dan rakan-rakan artis serta ahli keluarga kedua-dua belah mempelai.

Acara yang diadakan dengan bertemakan serba putih itu turut disiarkan secara langsung menerusi akaun TikTok Gempak.

Pada sekitar Februari lalu, Dini memaklumkan bakal mengumumkan satu berita besar berkaitan hal peribadi yang turut berkait rapat dengan Janna dalam masa terdekat.

Malah sebelum ini juga terdapat khabar angin mendakwa pasangan itu bakal bernikah di Langkawi pada 10 Jun dan memilih resort mewah di Pantai Cenang, Langkawi sebagai lokasi hari bahagia mereka.

Bagaimanapun Dini ketika ditemu bual Gempak pada 30 Mei lalu enggan mengiya atau menafikan dakwaan tersebut.