Selangor tawar prestasi, tolak sentimen calon anak tempatan

Amirudin (dua dari kanan) bergambar sambil memegang obor selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya AMK dan Wanita PKR Selangor di Padang Awam Kampung Permatang di sini pada Jumaat malam.
Amirudin (dua dari kanan) bergambar sambil memegang obor selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya AMK dan Wanita PKR Selangor di Padang Awam Kampung Permatang di sini pada Jumaat malam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor menawarkan prestasi dan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat berbanding menggunakan sentimen calon menteri besar dan Exco anak jati negeri seperti kempen yang digunakan Perikatan Nasional (PN).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Selangor sejak dari awalnya bergantung penuh kepada prestasi kerja dan perkhidmatan yang memberi kebaikan serta membantu rakyat.

"Saya percaya (isu dimainkan PN) bukanlah petunjuk dan memberikan faktor terlalu besar kerana mereka (PN) gagal untuk berhujah secara dasar dan bermanfaat kepada rakyat negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor di Padang Awam Kampung Permatang di sini pada Jumaat malam.

Sinar Harian pada 8 Mei lalu melaporkan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempersoalkan menteri besar dan kebanyakan Exco Selangor bukan anak jati negeri ini.

Muhammad Sanusi berkata, PN akan menampilkan calon anak jati negeri Selangor yang mempunyai kewibawaan dan lebih memahami latar belakang serta budaya di negeri berbanding calon dari negeri lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ditanya tentang keyakinan PN untuk memenangi PRN, Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata, perkara itu terpulang kepada gabungan parti berkenaan.

"Kita juga ada keyakinan berdasarkan kepada fakta dan juga sentimen sepanjang Ramadan dan Syawal lalu kerana saya sendiri telah menjelajah hampir semua daerah di negeri ini.

"Kita sudah lengkapkan tiga siri Jelajah Kita Selangor dan sebelum itu Jelajah Selangor Penyayang.

"Saya yakin maklum balas diberikan sangat positif malah di kawasan Sabak Bernam sudah ada gelombang pergerakan (sokongan rakyat) kepada Kerajaan Perpaduan negeri," ujarnya.

Diminta mengulas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menunjukkan sentimen rakyat terutama kaum Melayu sudah berubah dengan menyokong PN, Amirudin menegaskan PH juga masih mengekalkan kemenangan besar di negeri ini.

"Saya yakin sekiranya hubungan dengan BN dapat diserasikan ia dapat memberi kelebihan dan sekarang ini kerjasama, kepercayaan dan strategi betul akan menjadi teras kepada prestasi kita (PH-BN) dalam PRN akan datang," tambahnya.