Terengganu gagal kekang JDT

Norde (kanan) meledak gol tunggal TFC ketika aksi Liga Super menentang JDT di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebentar tadi. - FOTO: TERENGGANU FC
Norde (kanan) meledak gol tunggal TFC ketika aksi Liga Super menentang JDT di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebentar tadi. - FOTO: TERENGGANU FC
A
A
A

TERENGGANU FC (TFC) gagal mengambil kesempatan beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super sebentar tadi.

Bagaimanapun, perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus itu lebih dibayangi dengan insiden dua kad merah yang dilayangkan kepada pemain TFC.

Dalam aksi berintensiti tinggi itu, JDT terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan gunting penyerang sensasi, Fernando Forestieri pada minit ke-20.

Selepas beberapa mengasak kubu JDT, TFC akhir berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Sony Norde hasil sepakan percuma pada minit ke-28.

Untuk rekod, jaringan pemain kelahiran Haiti itu adalah gol kedua yang membolosi gawang skuad Harimau Selatan musim ini selepas kali pertama ketika JDT menewaskan Kelantan FC 5-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Ketika aksi babak pertama dilihat berkedudukan 1-1, JDT dihadiahkan sepakan penalti selepas pemain sayap lincah, Arif Aiman Mohd Hanapi dijatuhkan Norde pada masa kecederaan.

Bergson Da Silva tidak menghadapi masalah untuk menewaskan penjaga gol TFC, Mohd Suhaimi Husin bagi memastikan JDT mendahului 2-1 sebaik babak pertama berakhir.

Pada minit ke-52, TFC terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selepas pertahanan import, Argzim Redzovic diperintahkan keluar padang selepas mengumpul dua kad kuning kerana mengasari pemain lawan.

Nasib malang terus menimpa tuan rumah apabila penyerang, Ivan Mamut dilayangkan kad merah oleh pengadil, Mohd Fusser Mad Sallih kerana mengasari Feroz Baharuddin pada minit ke-73.

Kesempatan itu digunakan sebaik mungkin JDT yang berjaya memperoleh gol ketiga hasil jaringan Endrick Dos Santos pada masa kecederaan.