APG 2023 tutup tirai penuh meriah

Pertunjukan bunga api pada acara penutup APG 2023 Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo malam ini. - Foto Bernama
Pertunjukan bunga api pada acara penutup APG 2023 Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

SELEPAS seminggu atlet paralimpik rantau ASEAN menempuh pelbagai onak dan duri, akhirnya Sukan Para ASEAN (APG) 2023 dengan rasminya ditutup dengan persembahan memukau di Stadium Nasional Morodok Techo di Phnom Penh, Kemboja malam ini.

Sejumlah 50,000 penonton dengan pelbagai ragam dapat disaksikan sudah mula membanjiri stadium tersebut seawal jam 4 petang supaya tidak terlepas untuk menyaksikan majlis penutup temasya edisi ke-12 yang buat julung kali dianjurkan oleh negara itu.

Majlis penutupan gilang gemilang dimulakan dengan semua 11 kontinjen mewakili negara ASEAN mengambil tempat masing-masing di dalam stadium sambil menerima sorakan dan tepukan gemuruh oleh penonton yang hadir.

Kontinjen negara yang diketuai Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Noor Syahieda Mat Shah dilihat sekali lagi mengayakan pakaian trek dengan jaket bertemakan yang mempunyai logo Jalur Gemilang, seolah-olah memberi maksud perjuangan atlet adalah demi lencana di dada.

Persembahan menarik dimulakan dengan muzikal 'Cambodia Shines' diikuti seni mempertahankan diri 'Kun Bokator Physical Education'.

Malah, sukarelawan yang sentiasa membantu semua kontinjen daripada 11 negara diberikan penghormatan untuk mempersembahkan muzikal 'Heart Language' yang menyaksikan mereka berarak di sekeliling stadium.

Suasana meriah dapat disaksikan pada acara penutup APG 2023 Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo malam ini. - Foto Bernama
Suasana meriah dapat disaksikan pada acara penutup APG 2023 Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo malam ini. - Foto Bernama

Perdana Menteri, Hun Sen, kemudian diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan dan mengisytiharkan penutupan secara rasminya temasya sukan yang bermula 3 Jun lalu.

Penutupan itu bersambung dengan bendera Persekutuan Sukan Para ASEAN diserahkan kepada wakil tuan rumah seterusnya, Thailand dan disambut dengan wakil persembahan negara Gajah Putih itu.

Thailand akan menjadi tuan rumah edisi ke-13 di Nakhon Ratchasima dari 20 hingga 26 Jan 2026 dan ini adalah kali kedua APG diadakan di Nakhon Ratchasima selepas edisi 2008.

Malam penutup itu diakhiri dengan persembahan bunga api berwarna warni di bumi Kemboja selepas obor temasya sukan dwitahunan itu dipadamkan.

Kontinjen para negara yang diwakili kira-kira 144 atlet menamatkan cabaran kali ini dengan cemerlang apabila meraih 50 pingat emas, 38 perak dan 28 gangsa untuk menduduki tangga keempat carta pingat.

Indonesia mempertahankan gelaran juara keseluruhan carta kedudukan pingat dengan merangkul 159 pingat emas, 148 perak dan 94 gangsa sekali gus memegang gelaran itu buat kali keempat selepas edisi Solo 2022, Myanmar 2013 dan Kuala Lumpur 2017.

Thailand menghuni tangga kedua dengan meraih 126-110-92 dan dikuti Vietnam (66-58-77). - Bernama