'Makcik dah biasa pindah ke PPS'

Saifuddin (dua, kanan) beramah mesra bersama Munah selepas menerima lawatan Saifuddin di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karang di sini, hari ini.
Saifuddin (dua, kanan) beramah mesra bersama Munah selepas menerima lawatan Saifuddin di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karang di sini, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kawasan rumah di Kampung Sungai Karang Pantai, Balok, yang mudah dinaiki air apabila hujan lebat menyebabkan Munah Kamis, 94, berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebanyak 10 kali setiap kali banjir.

Ibu kepada empat anak dan 22 cucu itu berkata, dia sudah bersedia untuk berpindah setiap kali musim tengkujuh pada penghujung tahun yang lazimnya menyebabkan kediamannya di Kampung Sungai Karang Pantai dinaiki air.

“Makcik sudah biasa berpindah ke pusat pemindahan apabila banjir, mungkin sudah lebih 10 tahun..dahulu masa duduk di Kelantan pun selalu berpindah sebab banjir.

“Jadi makcik rasa tiada masalah dan di sini pun banyak bantuan disediakan kerajaan dan agak selesa.

"Di pusat pemindahan kami dilayan dengan baik, ada pegawai kesihatan, makanan serta kemudahan lain...harap banjir akan kembali pulih dan tidak teruk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima lawatan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karang di sini, hari ini.

Dalam pada itu, anaknya, Esah Awang, 71, berkata rumah yang didiami berdua bersama ibunya mula dinaiki air kira-kira jam 2 petang semalam ketika sedang memasak di dapur.

"Sedang saya memasak, tiba-tiba air naik sehingga paras lutut, kemudian kami dibantu ahli keluarga yang tinggal berhampiran untuk berpindah ke pusat pemindahan.

Artikel Berkaitan:

“Ibu baik-baik sahaja, cuma memerlukan pemerhatian kerana menghidap darah rendah, saya kena sentiasa bersamanya,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, beliau akan bertemu dengan pihak berkuasa tempatan untuk melihat punca banjir yang berkemungkinan berlaku disebabkan saiz saliran atau longkang kecil selain hujan serta air pasang.

“Sekarang kita fokus untuk bantu mereka di pusat pemindahan dahulu, lepas itu kita akan bantu bersihkan rumah mereka dahulu apabila air surut.

“Selepas itu baru kita cari bagaimana hendak menyelesaikan masalah atau punca banjit, perkara ini berlaku di tempat lain apabila penduduk dan bangunan bertambah tetapi saiz longkang kecil,” katanya.