Perubahan pasaran buruh di Malaysia beri kesan produktiviti

Perubahan pasaran buruh beri kesan produktiviti di Malaysia. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
Perubahan pasaran buruh beri kesan produktiviti di Malaysia. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perubahan pasaran buruh di Malaysia sejak tiga tahun lalu memberi kesan produktiviti kepada majikan apabila pekerja mahukan lebih kawalan dalam menentukan keseimbangan antara kehidupan dengan kerjaya.

Menurut kenyataan dikeluarkan Penyelidikan Jenama Majikan di Malaysia oleh Randstad, satu daripada dua pekerja Malaysia mempertimbangkan untuk meninggalkan majikan mereka bagi meningkatkan keseimbangan kerja dan kehidupan.

“Mereka mahukan autonomi dalam membentuk rutin kehidupan kerja yang sesuai dan lebih fleksibel, namun ia bakal memberi kesan produktiviti kepada majikan.

“Pekerja di negara ini sedang giat mencari syarikat yang menawarkan dan menyokong kehidupan kerja lebih holistik serta sihat untuk membuatkan mereka gembira,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, menurut laporan penyelidikan edisi kelapan pada Jumaat Randstad turut memaklumkan, majikan perlu memainkan peranan bagi membantu pekerja dalam menyediakan sistem sokongan untuk membantu produktiviti mereka khususnya golongan milenium.

Menurutnya, golongan milenium lebih cenderung untuk menukar kerjaya mereka berbanding generasi X atau Z kerana faktor keseimbangan kehidupan dan kerja, kekurangan pertumbuhan kerjaya serta kelemahan kepimpinan majikan.

Justeru, syarikat perlu bekerja keras untuk memupuk persekitaran kerja diingini bagi menarik bakat dan berkongsi nilai yang sama.

“Sebanyak 42 peratus responden milenium antara umur 25 hingga 34 mempunyai keinginan menukar pekerjaan.

“Majikan harus memberi tumpuan kepada membina persekitaran kerja yang menyokong dan mengutamakan kesejahteraan supaya mereka boleh berpuas hati dengan hasil kerja yang ditampilkan,” menurut kenyataan itu lagi.