Tuah berganda Izzah Atirah di APG Kemboja 2023

Izzah Atirah
Izzah Atirah
A
A
A

PEMAIN goalball, Izzah Atirah Tajuddin, tersenyum apabila dia bukan sahaja menghadirkan pingat pada Sukan Para Asean (APG) Kemboja 2023, malah menerima khabar gembira keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Atlet berusia 18 tahun itu cemerlang membantu pasukan wanita meraih pingat gangsa selepas membenam skuad Indonesia 3-0 di Stadium Tertutup Kompleks Olimpik, Phnom Penh pada Khamis.

Izzah Atirah atau lebih mesra disapa Tira berkongsi ibunya, Norazlina Ibrahim, 44, mengirimkan pesanan mengenai keputusan SPMnya iaitu 7A (1A 3A- 3A) dan 1B dalam aliran perniagaan dan sains sukan sekitar 10 pagi.

“Semalam memang ada cakap dekat ibu biar saya sendiri yang tengok keputusan tetapi ibu seronok untuk lihat dan berkongsi berita itu dengan saya sebelum pertandingan bermula.

“Jadi masa permainan tadi memang saya cuba sehabis baik sebab saya pemain posisi kiri dan kanan. Memang ada banyak serangan dari Indonesia tapi kami berjaya tepis semua halangan itu,” kata anak kedua dari lima adik-beradik itu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn, Johor, itu bergandingan bersama Nur Amalina Hares; Nur Shazatul Nadhirah Mohd Shuhaidi; Athirah Azman; Lim Zi Ling dan Nurin Amalin Ishak dalam acara goalball pasukan wanita untuk menamatkan cabaran di kedudukan ketiga di bumi Kemboja.

Izzah Atirah, yang membuat penampilan sulung pada edisi ke-12 ini, berkata bukan mudah mengimbangi masa sukan dan akademik, namun hasil pertolongan keluarga yang menetap di Bangi, Selangor, dia mampu melakukannya.

Dia yang memasang impian besar untuk menjadi guru mahu menyambung pelajaran Diploma Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Saya memang ada impian untuk menjadi guru sebab suka berkongsi dengan orang ramai pengetahuan apa yang saya tahu. Tetapi kalau suatu hari nanti jadi (cikgu) saya masih mahu menjadi atlet,” katanya.

Izzah Atirah, yang mempunyai penglihatan kurang daripada 50 peratus itu, yakin dia akan terus bersinar dalam dunia sukan sekiranya terus diberi peluang menyertai kejohanan di pentas antarabangsa. - Bernama