Dua lelaki ditahan pukul operator kilang

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar menunjukkan gambar rakan suspek yang sedang giat dikesan oleh pihaknya.
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian pukul seorang operator kilang di stesen minyak di Tanjung Kupang, Gelang Patah di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dua lelaki terbabit ditahan sekitar jam 11.40 malam semalam, di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri telah membuat serbuan dan tangkapan ke atas dua lelaki.

"Polis turut merampas barang kes iaitu dua buah topi keledar serta dua jaket," katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek berusia lingkungan 22 hingga 25 tahun didapati negatif serta tiada sebarang rekod jenayah lampau.

Katanya, kedua-dua suspek yang tidak mengaku terlibat dalam kes tersebut kemudiannya direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan Haram 1966.

"Polis kini sedang giat mengesan dua lagi rakan suspek," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan pengadu berusia 21 tahun bekerja sebagai operator kilang di Singapura telah berselisih faham dengan seorang lelaki lain di Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, kelmarin.

Semasa tiba di Plaza Tol Tanjung Kupang, pengadu telah ditahan oleh sekumpulan lelaki yang turut menunjukkan isyarat lucah selain menjerit-jerit ke atasnya.

Tidak mengendahkan perkara tersebut, pengadu terus menuju ke sebuah stesen minyak, namun dia dan rakannya telah didatangi dan dipukul sekumpulan individu dalam kejadian sekitar jam 7.28 malam.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia