SPM 2022: Negeri Sembilan catat pencapaian GPN lebih baik

Roslan (baris dua, empat kanan) bersama pelajar cemerlang SPM 2022.
Roslan (baris dua, empat kanan) bersama pelajar cemerlang SPM 2022.
A
A
A

KUALA PILAH- Pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 di Negeri Sembilan menunjukkan rekod Gred Purata Negeri (GPN) lebih baik iaitu 4.50 berbanding GPN 4.62 pencapaian tahun sebelumnya.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan negeri, Dr Roslan Hussin berkata, pencapaian itu menunjukkan perbezaan sebanyak 0.12 mata.

Katanya, seramai 14,862 calon SPM, daripada jumlah itu 533 calon memperoleh keputusan cemerlang (gred A, A dan A-) dalam semua mata pelajaran berbanding 512 calon pada tahun sebelumnya.

"Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik di negeri ini adalah Kolej Tunku Kurshiah dengan catatan GPS 1.12, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato' Haji Abu Hassan Haji Sail (GPS 1.59) dan SMK King George V (GPS 2.37).

"Terdapat 16 calon berjaya memperoleh A bagi semua mata pelajaran, manakala empat lagi calon istimewa iaitu orang kurang upaya ( OKU) memperoleh 5A hingga 11A," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada majlis pengumuman keputusan tersebut di SMK Tuanku Muhamad di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Roslan berkata, selain itu, pencapaian jurang prestasi sekolah bandar dan luar bandar kekal tidak berubah iaitu sama seperti tahun 2021 sebanyak 0.23 mata.

"Peratus calon yang layak menerima sijil SPM juga menunjukkan peningkatan iaitu 87.62 peratus pada tahun 2021 kepada 92.03 peratus pada tahun lepas," katanya.