Tiada penjawat awam diberhentikan selepas pertukaran kerajaan

Armizan - Foto Bernama
Armizan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada penamatan serta-merta perjawatan dalam perkhidmatan awam termasuk petugas kontrak selepas beberapa agensi dibubarkan sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, proses penstrukturan semula selepas pertukaran kerajaan termasuk pembubaran beberapa kementerian dan agensi hanya melibatkan penjajaran semula petugas ke tempat baharu.

"Contohnya, pembubaran Kementerian Wilayah Persekutuan, Unit Perumahan Awam serta penggabungan KeTSA (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli) dan KASA (Kementerain Alam Sekitar dan Air), tidak melibatkan penamatan jawatan penjawat awam serta petugas kontrak.

"Tetapi, kami menjajarkan semula penjawat awam sedia ada ke tempat baharu,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) sama ada pembubaran beberapa kementerian dan agensi di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan melibatkan penamatan perkhidmatan penjawat awam dan petugas kontrak.

Sementara itu, Armizan berkata, penstrukturan dan penyusunan semula kementerian, jabatan dan agensi dari aspek kewujudan baharu, pembubaran dan penubuhan semula, dilaksanakan secara holistik dengan mengambil kira pelbagai faktor.

Katanya, antara asas pertimbangan yang diambil kira adalah keperluan skop fungsi, tugas dan peranan setiap agensi, pertindihan fungsi dan keberkesanan sistem penyampaian.

"Sebarang keputusan dan tindakan adalah berpandukan Dasar Pengoptimuman Perkhidmatan Awam (DPPA) bagi memaksimumkan penggunaan sumber manusia perkhidmatan awam selain meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan mengawal kadar pertambahan implikasi kewangan kerajaan.

"Pada masa yang sama, agenda menangani isu pengangguran dilaksanakan secara komprehensif dan berfokus melalui pelbagai inisiatif digerakkan merentasi kementerian termasuk melibatkan sektor swasta dan pihak berkepentingan lain," katanya.

Katanya, strategi dan pendekatan ini dilaksanakan untuk memastikan usaha menangani isu pengangguran dan mewujudkan peluang pekerjaan adalah bersifat mampan untuk tempoh jangka masa panjang dan tidak hanya bergantung kepada peluang pekerjaan dalam sektor awam semata-mata.

Beliau menjawab soalan asal Andi Muhammad Suryady sama ada kerajaan akan mempertimbang untuk menubuhkan semula agensi yang ditutup sebelum ini bagi mengurangkan masalah pengangguran terutamanya dalam kalangan graduan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai penjimatan kos selepas penstrukturan semula pentadbiran, Armizan berkata kadar tanggungan kerajaan bagi membayar emolumen pada tahun ini menurun kepada 23.4 peratus berbanding 27.8 peratus pada 2022 dan 27.5 peratus (2021). - Bernama