Lapan calon SPM di Pahang peroleh A+

Mohammad Rosli
Mohammad Rosli
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Lapan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dari Pahang memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran berbanding hanya seorang tahun sebelumnya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang Mohammad Rosli Abdul Rahman berkata, jumlah itu daripada seramai 397 calon memperoleh A (Gred A+, A dan A-) lulus dalam semua mata pelajaran.

"Seramai 112 calon berkeperluan khas menduduki peperiksaan tahun ini dengan 15 daripadanya mendapat sekurang-kurangnya 5A berbanding hanya lima tahun 2021.

"729 calon Orang Asli menduduki peperiksaan itu tahun lalu dengan 35 mendapat sekurang-kurangnya 5A dan seorang berjaya memperoleh 10A," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar semasa pengumuman keputusan SPM 2022 di SMK Bukit Rangin di sini, pada Khamis.

Mohd Rosli berkata, kumpulan pelajar SPM tahun lalu adalah kohort kedua pelajar yang menduduki peperiksaan SPM menggunakan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan format peperiksaan baharu.

Beliu turut memaklumkan Pahang mencatatkan rekod Gred Purata Negeri (GPN) memberangsangkan sebanyak 4.57 peratus bagi keputusan SPM tahun lalu.

Ujarnya, ia mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPK) yang tetapkan iaitu 4.74 peratus.

“Di Pahang, seramai 17,567 calon sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mendaftar untuk menduduki SPM tahun lalu.

“Seramai 16,704 calon telah mengambil peperiksaan di 201 pusat peperiksaan ditetapkan,” katanya.

Menurutnya lagi, jurang prestasi antara sekolah bandar dan luar bandar juga menunjukkan pengecilan 0.06 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Bagi SPM 2022, 10 sekolah mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik iaitu kurang dari 2.06 dengan tujuh darinya merupakan sekolah menengah harian.

“Berbanding tahun lalu hanya tiga buah sekolah menengah harian mencapai GPS terbabit dan tujuh lagi merupakan sekolah berasrama penuh,” katanya.