Kelantan catat peningkatan GPN SPM 2022

Mohamad (tengah) dan barisan pegawai Jabatan Pendidikan Kelantan.
Mohamad (tengah) dan barisan pegawai Jabatan Pendidikan Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Prestasi Gred Purata Nasional (GPN) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 bagi negeri Kelantan menunjukkan peningkatan kepada 4.88 berbanding 5.1 bagi SPM 2021.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan, Mohamad Abd Wahab berkata, pencapaian juga meningkat bagi calon layak dapat sijil daripada 88.72 peratus tahun lalu kepada 92.95 peratus.

“Tahun ini juga sebanyak 51 sekolah menunjukkan Gred Purata Sekolah (GPS) mengatasi GPN dan sekolah GPS terbaik ialah Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra iaitu 1.46.

“Terdapat 55 buah sekolah mengatasi peratus calon yang layak mendapat sijil peringkat negeri iaitu 92.95 peratus dengan 33 buah sekolah mencapai kelulusan 100 peratus termasuk 12 buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK),” katanya pada Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2022 di sini pada Khamis.

Beliau berkata, daripada analisis kecemerlangan mata pelajaran, sejumlah 55 mata pelajaran diambil oleh calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) negeri Kelantan bagi tahun 2022.

“Daripada jumlah tersebut, 29 mata pelajaran yang ditawarkan mencapai kelulusan 100 peratus.

“Lapan calon mendapat straight A dan seramai 271 calon mendapat sekurang-kurangnya A- bagi semua mata pelajaran yang diambil sekali gus mewakili 1.32 peratus keseluruhan calon sekolah kerajaan pada tahun 2022,” katanya.

Ujar Mohamad, seramai 27,119 calon mendaftar peperiksaan SPM pada tahun 2022 manakala calon yang menduduki peperiksaan pula seramai 26,735 calon.

“Jumlah itu termasuk 20,478 orang calon sekolah bantuan kerajaan dan 4,472 calon sekolah agama kerajaan negeri.

“Seramai 714 orang calon di Maktab Rendah Sains Mara, 165 orang calon swasta dan 906 calon persendirian,” katanya.