Kelantan United FC diaibkan Selangor FC, 1-7

Faisal Halim antara yang menyumbang gol Selangor FC ketika menentang Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu.
Faisal Halim antara yang menyumbang gol Selangor FC ketika menentang Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu.
A
A
A

KELANTAN United FC diaibkan di laman sendiri apabila kalah, 1-7 kepada Selangor FC pada aksi Liga Super 2023 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini pada Rabu.

Pesta gol Selangor FC bermula babak pertama apabila tanpa menunggu lama untuk berada di depan apabila kapten Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi bijak menyempurnakan hantaran lintang import Ayron Del Valle Rodgriguez dalam kotak penalti seawal minit ke-4.

Pelawat terus menjarakkan kedudukan 2-0 apabila giliran Ayron meledak gol memanfaatkan hantaran jauh Mukhairi Ajmal sekali gus menewaskan Muhammad Ilham Amirullah Razali, enam minit kemudian.

Kerapuhan benteng pertahanan tuan rumah terus dihukum Mohamad Faisal Abdul Halim yang mengucar-kacir keadaan dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan deras meletakkan kedudukan 3-0, pada minit ke-28.

Kelantan United FC yang kian tertekan berpeluang merapatkan jurang namun percubaan Devid de Santana Silva ditangkap kemas penjaga gol pelawat, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid pada minit ke-33.

Selangor terus selesa menerusi tendangan gol sekali lagi dari Ayron minit ke-45 menjadikan kedudukan 4-0, kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Ayron yang berjaya memberikan hatrik gol pada aksi Liga Super 2023 di Kelantan pada Rabu.
Ayron yang berjaya memberikan hatrik gol pada aksi Liga Super 2023 di Kelantan pada Rabu.

Bersambung babak kedua, Yohandry Jose Orozco Cujia mengukuhkan kedudukan 5-0 apabila rembatan menariknya terus menerjah jaring penjuru kiri pintu gol tuan rumah, minit-51.

Peluang Kelantan United muncul menerusi tendangan penalti selepas Yan Victor Silva Paixao dijatuhkan lawan dalam kotak.

Devid Silva yang mengambil sepakan tersebut menjadikan kedudukan 1-5 apabila berjaya menewaskan Mohamad Khairulazhan menerusi rembatan kencang, pada minit ke-75.

Selang tiga minit, tuan rumah terus dikecewakan menerusi tendangan tepat pemain gantian Muhammad Aliff Izwan ke gawang lawan pada minit ke-78 melonjak kedudukan 6-1.

Seminit kemudian, Ayron mencipta hetrik melalui tendangan gol dari luar kotak penalti menggandakan kegembiraan penyokong pelawat.

Perlawanan tamat dengan Selangor FC 7 dan Kelantan United 1.