'Jangan buang undi dengan pilih PN' - UMNO Kelantan

Zawawi
Zawawi
A
A
A

KOTA BHARU - UMNO Kelantan menyifatkan tindakan rakyat di enam negeri yang mengundi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang umpama satu undi untuk pengangguran.

Ketua Penerangan, Datuk Zawawi Othman berkata, PN dilihat lebih retorik dan longgar dalam pelaksanaan dasar ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ketika itu tiada langsung agenda ekonomi dibuat dalam soal kebajikan rakyat. Kesilapan besar ketika itu ialah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disifatkan 'separuh masak' dan mengisytiharkan darurat politik demi menjaga tembolok partinya.

"Ketika itu banyak syarikat multinasional menarik pelaburan bernilai ribuan juta ringgit keluar dari Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Justeru, ujar beliau, rakyat diingatkan supaya tidak melupakan kegagalan PN dalam menguruskan kestabilan politik kesan kerakusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas yang mahu menjadi kerajaan sehingga sanggup menggunakan institusi kehakiman sebagai benteng menghalalkan perbuatan mereka.

"Para pengundi di enam negeri terlibat dengan PRN diminta untuk memilih kerajaan yang selari dengan Pusat bagi memberi kelancaran terhadap segala perancangan dari sudut ekonomi dan pembangunan.

"Jangan sesekali membuang undi anda dengan memilih PN," katanya.