Abang sado baju merah direman tiga hari

Lelaki (kanan) yang tular dalam rakaman memukul kepala dan mengugut seorang pemandu wanita direman selama tiga hari di Mahkamah Majistret Tapah pada Rabu.
Lelaki (kanan) yang tular dalam rakaman memukul kepala dan mengugut seorang pemandu wanita direman selama tiga hari di Mahkamah Majistret Tapah pada Rabu.
A
A
A

TAPAH - Lelaki berbadan tegap yang tular dalam rakaman memukul kepala dan mengugut seorang pemandu wanita semasa dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Tapah direman selama tiga hari.

Perintah reman bermula Rabu sehingga Jumaat itu dikeluarkan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah di Mahkamah Majistret Tapah.

Lelaki berusia 29 tahun terbabit tiba di mahkamah sekitar jam 8.35 pagi berpakaian lokap warna ungu dengan tangan bergari dan diiringi anggota polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mendatangkan cedera serta Seksyen 506 dan 509 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah dan perbuatan mengaibkan kehormatan.

Pada Selasa, lelaki terbabit ditahan di sekitar Serdang, Selangor selepas mangsa berusia 24 tahun itu membuat laporan polis berhubung insiden terbabit.

Lelaki yang bekerja sebagai penyelia kilang di Serdang itu kemudiannya di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk siasatan lanjut.

Siasatan awal polis mendapati, kejadian itu berlaku sekitar jam 5.33 petang pada Isnin ketika mangsa dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah bersama adik lelakinya berusia 17 tahun.

Kejadian dikatakan berlaku akibat salah faham di atas jalan raya sekitar pusat peranginan Lata Iskandar apabila mangsa cuba memotong sebuah kereta Proton Persona yang berada di hadapannya, namun tidak dapat berbuat demikian.

Pada Selasa, tular video berdurasi 1 minit memaparkan tindakan seorang lelaki berbadan tegap memakai baju merah keluar dari kereta dipandunya dan mengetuk cermin kenderaan di belakangnya sebelum memarahi dan memukul kepala pemandu terbabit.