Sharkar pertahan jemput pemimpin Kerajaan Perpaduan ke PAU

Mohd Sharkar - Foto: SINAR HARIAN/ Mohd Rafiq Redzuan Hamzah
Mohd Sharkar - Foto: SINAR HARIAN/ Mohd Rafiq Redzuan Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM- [KEMAS KINI] Tindakan UMNO menjemput pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 bukanlah satu perkara asing buat mana-mana parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, Pas sendiri pernah menjemput DAP sewaktu bekerjasama dalam Pakatan Rakyat.

“Jika berada dalam satu pasukan dengan Kerajaan Perpaduan, sudah tentulah kita akan menjemput kesemua 19 parti atau kepimpinan yang ada. Pas sendiri pernah menjemput DAP, Bersatu pun pernah bersama DAP.

“Ini perkara biasa jika kita bekerjasama. Tapi kena ingat,walaupun kita bersama dalam satu pasukan, persetujuan yang telah dibuat antara parti adalah empat perkara yang tidak boleh disentuh iaitu agama Islam, institusi Raja, bahasa kebangsaan dan hak istimewa orang Melayu serta bumiputera.

“Sebab itu kita tengok, suhu politik selepas pilihan raya pada 2018 apabila PH (Pakatan Harapan) memerintah, macam mana? Bandingkan dengan keadaan sekarang,” katanya dalam Wacana Sinar Siri 400 yang bertajuk PRN: Siapa Patut Rakyat Pilih yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Selasa.

Program itu dihoskan Ismail Adnan dan turut menampilkan tiga panelis lain iaitu Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa; Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pusat, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat, Nor Azrina Surip.

Tambah Mohd Sharkar, rakyat juga menerima kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Lihat sahaja bagaimana penerimaan rakyat. Tiada bantahan, pemberontakan, demonstrasi dan sebagainya. Bagi BN, kita hanya ada dua pilihan, sama ada menjadi pembangkang atau menjadi kerajaan.

“Kerajaan ini ditubuhkan atas titah Tuanku. Menjadi tugas besar bagi UMNO untuk memberikan mesej kepada mereka (parti lain), jika ingin bersama kami, empat perkara ini jangan disebut kerana ia sangat sensitif kepada orang Melayu,” jelasnya.