Elavarasan kekal kemudi Harimau Muda

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM, Datuk Seri Shahril Mokhtar (dua dari kanan) dan Presiden Direktur PT Bintang Toedjoe Fanny Kurniati (dua dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara Noor Azman (kanan) dan Ketua Unit Perniagaan Pengguna PT Bintang, Toedjoe Daniel Christianto (kiri) di Wisma FAM pada Selasa. - Foto Bernama

A
A
A

KETUA Jurulatih skuad bawah 23 (B-23) kebangsaan, E. Elavarasan masih diberi mandat menjadi pengendali skuad Harimau Muda bagi mengharungi baki dua kejohanan antarabangsa tahun ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, hasil daripada mesyuarat diadakan hari ini, tiada perubahan teknikal dibuat badan induk bola sepak negara itu bagi skuad muda yang diletakkan sasaran untuk layak ke Piala Asia B-23, tahun hadapan.

Beliau berkata, Indeks Prestasi Utama (KPI) yang baharu sudah diberikan kepada Elavarasan sebagai tanggungjawab untuk memastikan skuad Harimau Muda berada dalam kelompok pasukan terbaik pada kelayakan Piala Asia B-23, yang dijadualkan September ini.

"Kita akan mengharungi dua lagi kejohanan antarabangsa iaitu Kejohanan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) pada Ogos dan kelayakan Piala Asia B-23 2024 dengan kedua-dua kejohanan akan berlangsung di Thailand.

"Selepas mesyuarat Exco FAM sebentar tadi, kita mengambil keputusan kekalkan khidmat Elavarasan mengemudi pasukan untuk dua kejohanan tersebut,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kelapan Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM di sini pada Selasa.

Skuad B-23 negara baru-baru ini menerima kritikan hebat susulan prestasi hambar ditampilkan apabila tersingkir seawal peringkat kumpulan pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, sekali gus gagal mencapai sasaran layak ke final.

Bagi kejohanan B-23 AFF, Harimau Muda diundi bersama pemenang pingat emas Sukan SEA 2023, Indonesia dalam misi memburu kejuaraan sulung di Chonburi, Thailand itu. - Bernama