Polis tahan 13 along bantu siasatan ugut KP Pulau Pinang

Khaw Kok Chin
Khaw Kok Chin
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang menahan 13 suspek yang terdiri daripada pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau along di negeri ini dan sekitar Perak pada Isnin.

Ia bagi membantu siasatan berhubung sepucuk surat amaran dan ugutan jenayah yang diterima Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin pada 1 Jun lalu.

Surat ugutan itu dibuat bagi mendesak agar Polis Pulau Pinang menghentikan tindakan agresif memerangi sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen di negeri ini.

Kok Chin berkata, kesemua mereka ditahan kurang daripada 24 jam sejak operasi khas dijalankan.

Menurutnya, kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

"Kita telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk memerangi kegiatan sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ah long di negeri ini. Polis Pulau Pinang akan melancarkan operasi besar-besaran membanteras kegiatan ah long secara berterusan di negeri ini.

"Sebanyak 28 pasukan terdiri daripada 112 pegawai dan anggota polis membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang terlibat dalam operasi khas ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kok Chin berkata, operasi besar-besaran dalam memerangi kegiatan sindiket pinjaman wang haram ini akan diadakan secara berterusan.

"Kita tidak akan berkompromi terhadap kumpulan ah long yang terlibat," katanya.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memperhebatkan usaha dan sedang memburu sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen yang menghantar sepucuk surat amaran dan ugutan jenayah kepada Kok Chin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya memandang serius tindakan biadab dan melampau ah long yang berani mencabar dan mengugut pegawai tertinggi PDRM di Pulau Pinang.

Surat layang tersebut yang dimasukkan di dalam sampul surat, telah diterima pada 1 Jun lalu melalui perkhidmatan Pos Malaysia.

Acryl berkata, pemeriksaan awal PDRM terhadap sampul surat tersebut mendapati terdapat enam keping replika wang kertas ‘duit mayat’ dan sekeping nota berbentuk amaran agar polis menghentikan tindakan agresif memerangi sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen di Pulau Pinang.

Tambah beliau, surat layang tersebut turut beserta nota berunsur ugutan jenayah terhadap Ketua Polis Pulau Pinang bahawa akan membakar kedai serta balai polis sekiranya amaran berkenaan tidak diendahkan.