'UMNO 'bungkus' pada PRN' - KJ

Komen Khairy di Instagram milik Hishammuddin.
Komen Khairy di Instagram milik Hishammuddin.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa parti itu akan 'bungkus' pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Beliau berkata demikian dengan meninggalkan komen tersebut di Instagram milik bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"PRN UMNO bungkus," ujarnya.

Dalam pada itu, Hishammuddin menerusi hantaran dalam Instagram membidas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang seakan ‘menyindir’ dengan mempelawa bekas ahlinya untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, tindakan Ahmad Zahid dan Asyraf Wajdi menggambarkan mentaliti dan pemikiran kepimpinan UMNO sekarang selain tidak membantu langsung usaha memulihkan kedudukan parti dalam memenangi hati ahli-ahli di akar umbi.

Sebelum ini, Khairy dipecat keahliannya dari UMNO dan turut dipecat ialah bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang mempertikaikan penggantungan beliau serta meminta agar Ahmad Zahid memecat beliau daripada parti.

UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.

Pada Isnin, Khairy mempertimbangkan untuk menubuhkan parti baharu disebabkan pasaran politik yang agak tepu.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, sejak beberapa minggu ini beliau melihat ada kebarangkalian untuk membuka parti lain.