Pahang ditundukkan KL City

Tiga mata penuh milik Kuala Lumpur City FC di Kuantan. - Foto Twitter Bernama
Tiga mata penuh milik Kuala Lumpur City FC di Kuantan. - Foto Twitter Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR City FC (KL City) berjaya menundukkan Sri Pahang FC dengan jaringan 2-1 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini pada Ahad.

Kekalahan skuad Tok Gajah itu adalah yang kedua selepas tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 24 Mei lalu.

Gol pasukan pelawat muncul seawal minit kelima babak pertama melalui jaringan penyerangnya, Tchetche Kipre.

Pahang yang ketinggalan menggandakan serangan untuk mencari gol penyamaan dengan mencipta beberapa peluang, namun gagal menemui titik penyudah hingga tamat separuh masa pertama.

Pada babak pertama, peluang Pahang muncul pada minit ke tujuh melalui percubaan penyerang, Kpah Sean Sherman menerusi tendangan dari sebelah kanan pintu gol KL City namun tersasar.

Berselang tiga minit kemudian, Stefano Brundo mendapat peluang keemasan apabila tandukannya berjaya menerjah gawang KL City, namun jaringannya dibatalkan pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali kerana 'offside'.

Pahang berjaya memperoleh gol penyamaan melalui sepakan penalti pada minit ke-57 melalui tendangan Stefano Brundo.

Peluang keemasan itu muncul selepas pemain Pahang berjersi 12, Muhamad Baqiuddin Shamsuddin dijatuhkan penjaga gol KL City, Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin dalam kawasan petak penalti.

KL City memperoleh gol kedua pada minit ke-75 melalui sepakan percuma disempurnakan pemain berjersi 28, Paulo Josue.

Pahang terpaksa akur apabila gagal mencari gol penyamaan untuk mengikat KL City hingga wisel penamat.

Kedua-dua pasukan menggandakan serangan dan berjaya mencipta beberapa peluang namun gagal mendapatkan gol tambahan sekaligus menyaksikan keputusan perlawanan kekal 2-1.