APG 2023: Muhamad Ashraf mahu emas miliknya bakar semangat kontinjen

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim (empat dari kiri) dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (dua dari kiri) beramah mesra bersama Muhamad Ashraf (tiga dari kiri) ketika tiba di Kemboja hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim (empat dari kiri) dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (dua dari kiri) beramah mesra bersama Muhamad Ashraf (tiga dari kiri) ketika tiba di Kemboja hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ATLET para Muhamad Ashraf Muhammad Haisham mahu menjadikan emas pertama yang diraihnya bagi acara 5,000 meter lelaki T46 (kecacatan fizikal) sebagai pembakar semangat kepada kontinjen olahraga pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2023.

Atlet berusia 28 tahun itu berkata, tanggungjawab dipilih sebagai ketua pasukan olahraga di Kemboja adalah bagi memastikan beliau menampilkan aksi terbaik ketika turun berjuang sekali gus menghadirkan pingat pada kejohanan pentas antarabangsa.

Muhamad Ashraf sebelum itu unggul merekodkan 18 minit 49.42 saat (s) untuk menyandang gelaran juara dan mengetepikan King James Teves Reyes dari Filipina yang mencatatkan 18:50.16s serta atlet Vietnam Tran Van Duc di kedudukan ketiga dengan 18:50.17s.

"Saya dilantik sebagai ketua bagi pasukan olahraga jadi saya harap ini (emas) menjadi pembakar semangat kepada kontinjen olahraga. Insya-Allah pasukan akan capai sasaran.

"Saya memang puas hati dengan kemenangan ini yang saya belajar daripada kekalahan di Solo, Indonesia pada tahun lalu. Masa itu (APG Solo) saya hanya fikir mahu pecahkan rekod namun hari ini saya ada strategi tersendiri,” katanya kepada pemberita selepas menjadi atlet olahraga pertama menyumbang emas bagi sukan itu di sini hari ini.

Beliau optimis mampu menambah lagi dua pingat emas menerusi acara 1,500m lelaki T46 (kecacatan fizikal) dan 800m lelaki T46 (kecacatan fizikal) pada penampilan edisi ke-12 ini.

Muhamad Ashraf bagaimanapun berkata, mustahil baginya untuk berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya dalam menghadapi saingan acara 1,500m lelaki T46 (kecacatan fizikal) pagi esok selepas baru sahaja selesai acara 5,000 meter lelaki T46 (kecacatan fizikal) malam ini.

"Saya tidak yakin untuk berada dalam keadaan sepenuhnya bersedia bagi menghadapi saingan esok namun saya akan cuba buat yang terbaik. Macam tadi, saya akan berhati-hati semasa larian dan bertindak apabila pihak lawan leka,” katanya. - Bernama