'Kami tiada pilihan, terpaksa tinggal di bangsal usang'

Roslin (kanan) melihat keadaan bangsal didiami Siti Mahfuza bersama suami dan anaknya di Terminal Bas Lama Pontian.
A
A

PONTIAN - Tiga sekeluarga menjadikan bangsal usang di terminal bas lama sebagai tempat berteduh selepas diusir dari rumah kerana gagal membayar sewa.

Siti Mahfuza Abdillah, 44, berkata, dia bersama suami, Zainal Furizan Wello,44, dan anak mereka, Nur Sawiyah Hawa,7, hampir menjadi gelandangan disebabkan tiada tempat tinggal sebelum menjadikan bangsal usang tersebut sebagai tempat tinggal.

Katanya, suaminya tidak dapat turun ke laut kerana sakit jantung menyebabkan sewa rumah sering tertunggak.

“Dari rumah sewa kemudian ke bilik sewa itupun saya dan suami tidak mampu bayar. Memang banyak tunggakan, tetapi tuan rumah berikan kami tempoh untuk keluar secara baik. “Biasanya sewa rumah sekitar RM450 manakala bilik RM36 sehari. Kali terakhir kami sewa bilik, selepas itu kami keluar sebab tidak mampu bayar sewa.

“Selepas itu kami tiada tempat tinggal, hampir tidur tepi jalan. Mujur kami ternampak sebuah bangsal lama di terminal bas, terus kami tinggal di situ,” katanya.

Menurutnya, ketiadaan bekalan elektrik menyebabkan dia sekeluarga terpaksa bergelap pada waktu malam.

“Dalam bangsal ini ruang cukup terhad, cuma ada tempat tidur sahaja. Itupun kalau hujan habis basah sebab bumbung banyak bocor.

“Untuk masak dan mandi, bekalan air saya angkat gunakan baldi dari paip sebuah kedai berdekatan,” katanya. Siti Mahfuza berkata, dia cukup bimbang dengan keselamatan mereka sekeluarga kerana binatang liar seperti ular, biawak, lipan sering ditemui.

“Paling risau keselamatan Nur Sawiyah, dia masih kecil sepatutnya tinggal di rumah bukan bangsal.

“Tetapi Nur Sawiyah cukup memahami keadaan keluarga. Dia juga rajin belajar,” katanya. Justeru katanya, hanya sebuah rumah yang diharapkan sebagai tempat berteduh lebih selesa.

Sementara itu, Ketua Kampung Parit Mesjid, Roslin Baruji berkata, bangsal yang uzur itu tidak sesuai didiami. “Pihak bertanggungjawab perlu ambil peranan bantu keluarga ini mendapat kediaman lebih baik dan bukannya tinggal di bangsal,” katanya.

Jelasnya, pihaknya sudah membantu menyuarakan masalah dihadapi keluarga itu kepada jabatan kerajaan terlibat sebelum ini.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia