Musim sotong 'meriah' di Terengganu

Syed Ahmad Aizuddin menunjukkan antara sotong yang dijual di premis jualan di Kampung Durian Burung, di Kuala Terengganu.
Syed Ahmad Aizuddin menunjukkan antara sotong yang dijual di premis jualan di Kampung Durian Burung, di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Musim sotong yang telah bermula di Terengganu sejak Mei lalu kini semakin meriah sekali gus membolehkan hidupan marin yang menjadi kegemaran ramai itu dijual pada harga lebih rendah.

Seorang peniaga, Sauffian Sauji, 36, berkata, sebanyak 300 hingga 400 kilogram (kg) sotong dijual di kedainya dan jumlah itu akan meningkat kepada 600 hingga 700kg pada hujung minggu dan cuti umum.

"Kita ada jual pelbagai gred sotong. Paling murah pernah kita jual sebelum ini ialah sotong halus iaitu pada harga RM5 untuk sebekas (1kg) dan sotong bulat (RM7).

"Sotong ini memang sentiasa jadi rebutan pelanggan kerana harganya terlalu murah, namun kini jumlah tangkapan sotong saiz itu agak berkurangan.

"Kebanyakan tangkapan nelayan untuk minggu ini ialah sotong gred A, B dan C. Untuk hari ini kita ada jual sotong gred A iaitu sotong saiz besar di mana harganya antara RM32 hingga RM33 sekilogram," katanya ketika ditemui di premisnya di Durian Burung, di sini, pada Ahad.

Pelanggan memilih sotong di kedai jualan sotong di Kampung Durian Burung di Kuala Terengganu.
Pelanggan memilih sotong di kedai jualan sotong di Kampung Durian Burung di Kuala Terengganu.

Menurut Sauffian, harga sotong yang dijual tidak menentu kerana ia berdasarkan harga modal yang telah dikeluarkan serta bergantung kepada saiz dan kualiti sotong.

Bagaimanapun, katanya, sotong yang dijual di premisnya adalah antara yang termurah iaitu 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran di sekitar pusat bandar di sini.

"Sotong yang dijual adalah sotong segar kerana ia dibawa terus kepada pelanggan dan kita jual pada harga lebih rendah kerana mahu semua dapat sama-sama menikmati hidangan berasaskan sotong," katanya yang turut menjual pelbagai hasil laut lain.

Selain kedai yang beroperasi di Kampung Durian Burung, di sini, Sauffian turut memiliki sebuah lagi gerai di Kampung Tualang dekat Manir, di sini yang diusahakan sejak dua tahun lalu.

Katanya, gerai tersebut turut menjual barangan sama untuk keperluan pelanggan.

Sementara itu, pengurus operasi, Syed Ahmad Aizuddin Tuan Nek, 33 berkata, terdapat lapan pekerja di kedua-dua lokasi peniagaan itu dan jumlahnya bertambah kepada 12 pekerja pada hujung minggu.

"Biasanya kalau hujung minggu sambutan pelanggan lebih meriah sebab itu kita akan tambah bilangan pekerja kerana tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang.

"Kebanyakan daripada mereka dapat tahu mengenai sotong yang dijual pada harga murah ini melalui perkongsian di laman sosial Facebook, " ujarnya.