'Muhyiddin sedia kerjasama dengan Tun M sebab wang' - Puad

Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Mohd Puad
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Mohd Puad
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa kerjasama semula antara dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin disebabkan faktor wang.

Dakwanya, ini kerana Dr Mahathir masih mempunyai banyak duit dan sumber meskipun beliau tidak berparti.

"Muhyiddin sedia bekerjasama lagi dengan Tun M walaupun dia (Tun M) tidak berparti, tidak pelik pun.

"Muhyiddin berkawan semula dengan Tun M mungkin kerana faktor wang. Tun M masih banyak duit dan banyak sumber.

"Kita tengok bagaimana Perikatan Nasional (PN) bersedekah masa Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti," katanya di Facebook pada Ahad.

Pada Jumaat, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara.

Muhyiddin berkata, beliau menyambut baik kenyataan bekas Perdana Menteri berkenaan yang bersedia bekerjasama dengannya demi matlamat untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam.

Sebelum ini, Dr Mahathir mengakui beliau kini bersedia bekerjasama dengan Muhyiddin sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.

Mengulas lanjut, Mohd Puad mempersoalkan sama ada PN mampu memenangi PRN tanpa sedekah mega ketika akaun Bersatu kini dibekukan.

"Pada Pilihan Raya Umum ke-15, PN belanja mewah. Pas tumpang sekali.

"Kali ini akaun Bersatu kena beku. Bolehkah PN menang tanpa sedekah mega.

"Sebab itu Muhyiddin kena 'berlutut' pada Tun M," dakwanya.