Lelaki dipukul sampai maut

No Image Caption
A
A
A
JOHOR BAHRU - Gara-gara melakukan penyelewengan wang dalam sindiket judi dalam talian, seorang lelaki dipukul sehingga maut dalam satu kejadian di bandar raya ini, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassin berkata, berdasarkan siasatan awal, lelaki itu dipercayai mengambil kira-kira RM40,000 hasil sindiket berkenaan.

"Kita percaya sindiket ini telah berbalah sesama sendiri dan saling tuduh menuduh akibat berlakunya penyelewengan kewangan syarikat.

"Mangsa dipercayai telah mengambil wang dan dipaksa untuk mengaku serta telah dipukul," katanya dalam satu kenyataan, di sini, sebentar tadi.

Kamaluddin berkata, kes tersebut terbongkar apabila suspek bertindak menghantar mangsa yang sudah tidak sedarkan diri ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menerima rawatan.

Namun, katanya, mangsa disahkan meninggalkan dunia ketika dalam perjalanan ke hospital yang mana berpunca daripada kecederaan dan kesan lebam di kaki, tangan dan belakang badan.

Susulan kejadian itu, polis kemudiannya menubuhkan satu unit khas bagi mengesan suspek terbabit sebelum berjaya menahan tiga individu sekitar bandar raya awal pagi tadi.

"Kesemua suspek yang merupakan lelaki berusia 25 hingga 31 tahun kemudiannya berjaya ditahan di Skudai antara jam 1 hingga 2 pagi tadi.

"Suspek turut mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan kini akan direman selama tujuh hari sehingga 20 Disember ini untuk membantu siasatan," katanya.
Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, turut dirampas beberapa barangan kes termasuk kereta digunakan menghantar mangsa ke hospital dan pakaian milik mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.