Pengorbanan Atib, rakan sepasukan berbaloi

Atib (kiri) beraksi dalam acara 3x3 bola keranjang berkerusi roda APG ke-12 di Phnom Penh pada Sabtu. - Foto: Bernama
Atib (kiri) beraksi dalam acara 3x3 bola keranjang berkerusi roda APG ke-12 di Phnom Penh pada Sabtu. - Foto: Bernama
A
A
A

PEMAIN bola keranjang berkerusi roda Muhamad Atib Zakaria tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira walaupun sekadar memenangi pingat gangsa menerusi acara 3x3 lelaki pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Phnom Penh pada Sabtu.

Pemain hadapan berusia 30 tahun yang membuat penampilan ketiga di temasya dwitahunan itu selepas edisi Singapura (2015) dan Kuala Lumpur (2017), berkata mutu permainan yang mantap akhirnya mampu ditonjolkan pasukan negara di bumi Kemboja.

Muhamad Atib berkata, kejayaan meraih gangsa itu amat bermakna memandangkan semua pemain yang mempunyai pekerjaan masing-masing, sanggup berkorban masa untuk berlatih dalam tempoh yang singkat dan latihan sepenuh masa hanya bermula pada 10 Mei lepas.

"Saya amat berpuas hati dengan cara bermain hari ini kerana kami sudah menang dengan tuan rumah (Kemboja). Terutamanya pengorbanan masa apabila kami sendiri sudah mempunyai kerjaya masing-masing," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Dewan Elephant 2, Stadium Morodok Techo.

Terdahulu, anak buah Lim Ming Lip, terdiri daripada gandingan Muhammad Atib, Freday Tan, Karthik Kana Pathy, Muhammad Azzwar Hassan Assari dan Razali Cantik itu, menewaskan pasukan tuan rumah 17-8.

Ming Lip berkata strategi yang dirangka menjadi apabila pemain mudah menjaringkan mata.

"Saya sebenarnya sasar final bagi acara 3x3 namun disebabkan tidak dapat, saya memang suruh anak buah buat yang terbaik untuk sekurang-kurangnya bawa balik gangsa.

"Memang puas hati dengan cara permainan pasukan sebab kita sudah baiki beberapa kekurangan pada saingan peringkat kumpulan semalam," ujarnya.

Malaysia memenangi dua daripada empat perlawanan peringkat kumpulan semalam untuk menempah slot kedudukan ketiga dan keempat hari ini.

APG 2023 akan dibuka secara rasmi malam ini. - Bernama