KPKT teliti syarat tetapkan pemaju bina rumah mampu milik

Nga Kor Ming - Foto Bernama
Nga Kor Ming - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti syarat yang menetapkan pemaju perumahan swasta untuk membina rumah mampu milik dalam setiap projek mega yang dibangunkan, kata Menterinya, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, ia diteliti di bawah kajian Dasar Perumahan Negara baharu dan Dasar Perumahan Mampu Milik yang diselarikan dengan konsep perumahan Madani dalam usaha memastikan pihak swasta terlibat secara aktif dalam menyediakan rumah mampu milik yang diperlukan mengikut lokaliti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam, dilaporkan meminta KPKT meneliti semula perkara berkenaan memandangkan syarat membina sekurang-kurangnya 30 peratus rumah mampu milik dalam setiap projek perumahan tidak mengikut jadual dan skala yang ditetapkan.

Kerajaan telah mewajibkan pemaju perumahan swasta untuk membina sekurang-kurangnya 30 peratus rumah mampu milik dalam projek perumahan mega sejak 1981.

Menurut Kor Ming, KPKT menyambut baik pengumuman Anwar itu yang dilihat sebagai inisiatif secara kolektif antara pihak kerajaan dan pemaju perumahan dalam menyediakan rumah untuk rakyat.

"KPKT sentiasa peka dengan isu penyediaan rumah mampu milik kerana agenda pemilikan rumah merupakan antara fokus utama kementerian dalam memastikan kesejahteraan rakyat," katanya dalam kenyataan, di sini pada Jumaat. - Bernama.