YBR tandatangani Laporan Khidmat Nasihat bersama SPRM

Shaiful Rizal (kiri) dan Jamaludin selepas menandatangani Laporan Khidmat Nasihat antara YBR dan SPRM.
Shaiful Rizal (kiri) dan Jamaludin selepas menandatangani Laporan Khidmat Nasihat antara YBR dan SPRM.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan Bank Rakyat (YBR) menandatangani Laporan Khidmat Nasihat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai usaha meningkatkan integriti korporatnya.

Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, kerjasama dengan SPRM dijalankan bagi memantapkan lagi prosedur dan polisi operasi YBR dalam meningkatkan imej dan kualiti perkhidmatan yayasan itu ke arah perkhidmatan terbaik.

“YBR juga akan memastikan fokus terhadap pematuhan polisi setiap masa dalam membuat keputusan supaya ia telus dan tidak membuka ruang serta peluang kepada aktiviti rasuah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Majlis Menandatangani Laporan Khidmat Nasihat berlangsung di Serambi Ilmu Rakyat, Menara Kembar Bank Rakyat, dihadiri delegasi SPRM diketuai Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Jamaludin Puteh manakala YBR diwakili Syaiful Rizal.

Syaiful Rizal (duduk, kiri) dan Jamaludin (duduk dua dari kiri) selepas menandatangani Laporan Khidmat Nasihat antara YBR dan SPRM baru-baru ini.
Syaiful Rizal (duduk, kiri) dan Jamaludin (duduk dua dari kiri) selepas menandatangani Laporan Khidmat Nasihat antara YBR dan SPRM baru-baru ini.

Sementara itu, Jamaludin berkata, hasil pemeriksaan terhadap sistem, amalan dan tatacara di YBR secara keseluruhannya, pihaknya berpuas hati dan mencadangkan beberapa penambahbaikan bertujuan memantapkan prosedur dan polisi pematuhan YBR untuk mengelakkan sebarang persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

“Tahniah atas komitmen yang telah diberikan oleh YBR sepanjang sesi khidmat nasihat yang telah dilaksanakan sejak tahun lalu,” katanya.

Difahamkan, berdasarkan kajian skor ketelusan tertinggi yang telah dijalankan oleh Wiki Impact, YBR disenaraikan di tangga ketiga tertinggi di antara 32 yayasan terbaik di Malaysia.