Jururawat mahu selamatkan bumi

Bekerjasama tanam 250 pokok bakau sempena Hari Jururawat Antarabangsa

Azhar (berdiri, tengah) bersama jururawat Hospital Pakar KPJ Puteri menyemai 52 benih pokok bakau.
Azhar (berdiri, tengah) bersama jururawat Hospital Pakar KPJ Puteri menyemai 52 benih pokok bakau.
A
A
A

PONTIAN - Sempena Hari Jururawat Antarabangsa yang disambut pada 12 Mei setiap tahun, Hospital Pakar KPJ Puteri menganjurkan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi program penanaman semula pokok paya bakau di Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian.

Program seiring dengan tema sambutan Hari Jururawat Antarabangsa ‘Our Nurses, Our Future’ (Jururawat Kami, Masa Depan Kita), pihak pengurusan KPJ Puteri mengambil inisiatif mengadakan aktiviti luar dengan tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Seramai 40 jururawat menanam 250 pokok bakau di pinggir laut Tanjung Piai bagi melestarikan alam sekitar sekaligus menyelamatkan bumi dari hakisan.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital KPJ Wilayah Selatan, Azhar Abdullah berkata, selain mengekalkan kawasan hutan simpan kekal sebagai sumber penting dan zon penampan ombak dan meningkatkan jumlah pokok paya bakau.

“Aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan staf dan jururawat untuk memelihara ekosistem hutan paya bakau termasuk kawasan pesisir pantai.

“Ia juga adalah kesinambungan Program Kelestarian (Sustainability Program) hospital yang sebelum ini kita menghentikan penggunaan plastik, menjimatkan tenaga system penyejuk yang tidak efisien, penggunaan sistem e-waste.

“Selain mendedahkan aktiviti kemasyarakatan di kalangan jururawat yang kita tahu menggalas tanggungjawab yang berat di hospital, mereka tidak kekok berganding bahu menjayakan aktiviti CSR ini,” katanya.

Seramai 40 staf terdiri daripada jururawat Hospital Pakar KPJ Puteri mengadakan aktiviti CSR di Taman Negara Tanjung Piai.
Seramai 40 staf terdiri daripada jururawat Hospital Pakar KPJ Puteri mengadakan aktiviti CSR di Taman Negara Tanjung Piai.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Puteri, Hazarul Azly Hamzah dan Ketua Jururawat, Faridah Dawek.

Aktiviti ini bukan sahaja dapat membantu memupuk sifat cintakan alam, malah dapat juga membantu memulihara habitat asal bakau.

Turut diadakan program kesedaran pembersihan dan pengindahan kawasan paya bakau dengan CSR sebanyak 79 kilogram sisa dalam bentuk botol plastik, tin minuman, selipar, cebisan plastik dan tali berjaya dikumpulkan dalam tempoh satu jam.

KPJ Puteri yang menyambut ulang tahun ke-30 tahun ini, beroperasi dengan kemudahan 155 katil dengan 36 doktor pakar sentiasa melaksanakan tanggungjawab sosialnya dari masa ke semasa.