Perlu hormat tugas kewartawanan

Gambar hiasan - Foto123RF
Gambar hiasan - Foto123RF
A
A
A

BARU-BARU ini kecoh juga mengenai segelintir peminat sukan menghantar mesej berbaur ugutan selepas tidak berpuas hati terhadap seorang wartawan meja sukan yang menulis artikel mengenai prestasi pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.

Bukan setakat hantar mesej berbaur ugutan dan kesat tetapi maklumat peribadi wartawan itu turut disebar.

Ini satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan jijik daripada individu yang menganggap dirinya sebagai peminat sukan.

Bimbang dengan ancaman itu, wartawan wanita itu telah membuat satu laporan di Balai Polis Pantai, Kuala Lumpur pada minggu lalu.

Kejadian seumpama ini bukanlah kali pertama berlaku dalam arena sukan negara dan sikap sebegini boleh mendatangkan kebimbangan kepada petugas media ketika melaksanakan tugas.

Pada 1 September tahun lalu, Sinar Harian turut melaporkan pengulas sukan Astro Arena, Hafizal Hamad membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam selepas menerima mesej berbaur ugutan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mesej berbaur ugutan itu diterima melalui laman Instagram ‘antimediababi’ pada 27 Ogos.

Perbuatan ekstrem yang menjejaskan tugas kewartawanan adalah satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

Peminat sukan perlu sedar bahawa perbuatan tidak wajar seperti melakukan ugutan boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk didenda dan dipenjara.

Mereka yang melakukan ugutan sebegini boleh disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sekiranya ada perkara yang tidak disetujui dengan penulisan berita itu, tidak bermakna peminat boleh melakukan sesuka hati hingga memberi satu ancaman kepada tugas wartawan itu sendiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 pada 28 Mei lalu juga dengan jelas menyatakan tugas seorang wartawan itu bukan sekadar perakam idea, sebaliknya pencetus idea yang berteraskan nilai.

Maka hormatilah tugas wartawan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!