Anwar jemput Erdogan datang Malaysia

Anwar (kiri) dan Erdogan. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
Anwar (kiri) dan Erdogan. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia dalam masa terdekat selepas dihubungi pada Selasa.

Menurut beliau, jemputan itu bertujuan mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia-Turkiye dan mengangkat kerjasama dalam pelbagai bidang ke tahap yang lebih lancar.

“Saya menzahirkan setinggi-tinggi tahniah di atas kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Presiden Republik Turkiye baru-baru ini.

"Saya juga mengagumi ketabahan dan kesabaran beliau dalam menghadapi pelbagai cabaran untuk memenangi pilihan raya tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Tangkap layar video disiarkan di Facebook Anwar ketika beliau menerima panggilan daripada Erdogan pada Selasa.
Tangkap layar video disiarkan di Facebook Anwar ketika beliau menerima panggilan daripada Erdogan pada Selasa.

Dalam hantaran itu turut disertakan rakaman video perbualan Anwar dan Erdogan yang berdurasi empat minit satu saat.

Erdogan menang pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Turkiye sekali gus melanjutkan pemerintahannya untuk lima tahun lagi.

Lembaga Pilihan Raya negara itu mengesahkan dengan 99 peratus undi selesai dikira dan kiraan rasmi menunjukkan Erdogan peroleh 52.14 peratus sokongan.

Sementara itu, seteru Erdogan, Kemal Kilicdaroglu menerima 48.09 peratus undi secara keseluruhannya.

Kilicdaroglu bagaimanapun mendakwa pilihan raya berlangsung dalam keadaan tidak adil.

Pusingan pengundian pertama pada 14 Mei menyaksikan tiada pihak mendapat 50 peratus undi mutlak.