Dakwa kenyataan Sanusi 'terlalu cerdik', Pewaris ajak dialog

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Mohd Yussof (kanan).
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Mohd Yussof (kanan).
A
A
A

GEORGETOWN - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor disifatkan sengaja untuk dilihat 'terlalu cerdik' apabila mengeluarkan kenyataan berhubung Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Presiden Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (Pewaris), Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, kenyataan Muhammad Sanusi itu juga membuktikan bahawa ia dibuat tanpa penyelidikan yang menyeluruh.

"Kata-kata Muhammad Sanusi itu memperlihatkan kurang menyelidik atau sengaja untuk dilihat 'terlalu cerdik' bagi mendapat simpati pengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi. Saya merasakan ia hanya gimik murahan menjelang PRN nanti.

"Sehubungan itu, saya mencadangkan agar satu majlis dialog diadakan antara Pewaris, Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Muhammad Sanusi pada satu tarikh yang dipersetujui oleh kesemua pihak," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Isnin, Muhammad Sanusi menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah milik negeri tersebut yang mana, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.

Muhammad Sanusi turut mendakwa, pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri itu kerana Pulau Pinang tidak pernah 'terlepas' dari Kedah.

Mengulas mengenai kenyataan Muhammad Sanusi itu lagi, Mohd Yussof berkata, mengikut sumber Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (SPT), sempadan Pulau Pinang-Kedah bahagian Seberang Perai diwujudkan melalui perjanjian 6 Mei 1869 antara Inggeris dengan Siam.

"Bagi daerah SPT, Batu Sempadan Lama bermula berhampiran Kampung Perenggan dan Kampung Lalang sehingga ke kawasan Junjong, mengikut peta pada 1931, ada enam batu kesemuanya," katanya.

Tambah beliau, dari segi Perlembagaan Malaysia (Akta Kedah dan Pulau Pinang-Pengubahan Sempadan 1985), sempadan Kedah-Pulau Pinang wujud dan dinyatakan dengan Akta 325.

"Ia telah dipersetujui bahawa bahagian sempadan di antara Kedah dan Pulau Pinang yang di sepanjang Sungai Muda adalah diubah kepada yang di sepanjang garis tengah alur Sungai Muda.

"Sebagaimana sungai ini mengalir sebelum sahaja berkuatkuasanya akta ini, pengubahan tersebut kepada sempadan yang ditunjukkan dalam pelan diserah simpan yang dikenal pasti mengikut Pelan Warta No PW 1000 hingga PW 1008," katanya.