Lelaki warga emas ditahan bantu siasatan cederakan budak 5 tahun

Lelaki warga emas direman tujuh hari untuk membantu siasatan berhubung kehilangan seorang kanak-kanak perempuan pada Jumaat lalu.
Lelaki warga emas direman tujuh hari untuk membantu siasatan berhubung kehilangan seorang kanak-kanak perempuan pada Jumaat lalu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula Rabu bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Penaga pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, suspek yang merupakan jiran kepada mangsa itu ditahan selepas laporan perubatan mengesahkan kesan kecederaan pada mangsa disebabkan perbuatan jenayah.

Menurutnya, suspek ditahan di rumahnya di Penaga pada jam 10.30 malam Selasa untuk siasatan lanjut.

"Kita mendapat perintah reman selama tujuh hari terhadap tertuduh bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. Mangsa kini dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Kepala Batas.

"Kita belum dapat merekodkan keterangan mangsa sepenuhnya kerana dia masih dalam keadaan trauma. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Tambah Mohd Asri, mangsa kini berada dalam pemantauan pasukan kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Kita masih masih menunggu laporan lengkap perubatan mangsa untuk melengkapkan siasatan.

"Sekiranya hasil siasatan mengandungi unsur lain termasuk jenayah lain antaranya cabul, kita akan menukar seksyen siasatan berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan," katanya.

Difahamkan, sebelum ini, mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul hingga mengakibatkan rahangnya patah.

Sebelum ini, seorang kanak-kanak perempuan ditemui di tepi sebuah bangsal di tepi jalan Permatang Keriang selepas hilang hampir 24 jam ketika keluar bermain di rumahnya di Taman Perda, Kuala Muda, Penaga.

Kanak-kanak itu dilaporkan hilang pada Jumaat, namun ditemui orang awam pada jam 6 petang keesokan harinya, kira-kira 2.5 kilometer dari rumahnya.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada anggota badan akibat kejadian itu dan telah menerima rawatan di Hospital Kepala Batas.