Skuad badminton kena selektif pilih kejohanan

Aksi Pearly dan Thinaah ketika menentang pemain Korea Selatan, Baek Ha Na dan Lee So Hee pada perlawanan akhir Malaysia Masters 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil pada Ahad. Gambar kecil: Roslin
Aksi Pearly dan Thinaah ketika menentang pemain Korea Selatan, Baek Ha Na dan Lee So Hee pada perlawanan akhir Malaysia Masters 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil pada Ahad. Gambar kecil: Roslin
A
A
A

SKUAD badminton negara perlu selektif memilih kejohanan bagi memastikan para pemain berada pada tahap optimum daripada aspek fizikal, mental dan emosi ketika mereka dalam misi mengumpul mata untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Bekas pemain badminton nombor satu dunia, Roslin Hashim berkata, kecergasan pemain juga perlu menjadi faktor utama sebelum menghantar mereka kerana ia boleh menjejaskan prestasi ketika di gelanggang.

Beliau bukan menafikan kecergasan pemain negara yang sememangnya berada pada tahap terbaik, namun ia boleh menurun disebabkan kepenatan melampau susulan kepadatan jadual kejohanan.

“Pemain kita fit, kalau tak fit mereka tak mampu beraksi dengan baik pada Masters Malaysia selepas menyertai Piala Sudirman di China pertengahan bulan ini.

“Malah Pearly Tan dan M Thinaah boleh bermain rali yang panjang. Kalau tak fit mereka tak mampu mara ke final.

“Taktikal dan corak permainan semua bagus, semangat melawan juga hebat, tetapi disebabkan kepenatan (selepas mengharungi aksi sengit Piala Sudirman) keputusan naib juara juga sangat membanggakan peminat negara,” katanya kepada Sukan Sinar.

Justeru, Roslin yang juga panel penasihat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berharap para pemain dapat berbincang dengan jurulatih mengenai penyusunan jadual sebelum menyertai mana-mana kejohanan.

Beliau berkata, hanya pemain yang mengetahui tahap kesediaan serta kecergasan fizikal dan mereka perlu bijak untuk membuat keputusan berdasarkan nasihat serta pandangan jurulatih.

“Jangan paksa (kerah kudrat yang melampau) kerana jika penat boleh berehat dua atau tiga hari sudah kembali cergas, tetapi kalau cedera, mungkin ambil masa berbulan-bulan untuk pulih.

“Siapa yang rugi terlepas kejohanan (akibat kecederaan). Jadi berbincang secara baik dengan jurulatih, pilih kejohanan. Setahun mungkin sekali back to back - sertai tiga kejohanan berturut-turut. Kejohanan lain mungkin boleh pilih,” katanya.

Pada Kejohanan Masters Malaysia 2023 yang berakhir Ahad lalu, Pearly-Thinaah mengharungi empat perlawanan lebih dari sejam, merangkumi aksi 5 jam 54 minit.

Bagaimanapun rezeki tidak memihak mereka pada pusingan akhir selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 20-22, 21-8, 17-21 pada perlawanan yang berlangsung selama satu jam 41 minit.

Begitu juga dengan jaguh perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia gagal melangkah ke suku akhir setelah tewas 19-21, 21-16, 15-21 kepada pemain Taiwan, Lin Chun-Yi pada aksi pusingan kedua.

Kegagalan pemain dari Alor Setar, Kedah itu disebabkan faktor kesihatan kerana mengalami pening selepas dia tampil cemerlang ketika membantu Malaysia melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Sudirman 2023 di Suzhou.