Laporan dakwaan pelajar pelatih tak dibayar elaun sedang diteliti - PM

Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Seminar Fikrah Siddiq Fadzil 'Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia' di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Seminar Fikrah Siddiq Fadzil 'Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia' di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, beliau sedang menunggu laporan berkaitan dakwaan terdapat pelajar pelatih yang tidak dibayar elaun ketika menjalani tempoh latihan industri.

Beliau berkata, laporan mengenai perkara itu pada ketika ini sedang diteliti Kementerian Sumber Manusia (KSM).

"(Laporan itu) sudah dibawa. KSM sudah ambil. Sekarang ini sudah diangkat dan saya tunggu laporan,” katanya kepada pemberita ketika ditanya dakwaan terdapat pelajar pelatih yang menjalani latihan industri di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan serta syarikat swasta, tidak dibayar elaun.

Anwar turut memaklumkan beliau akan meneliti sebarang cadangan bagi mewujudkan sebuah akta khas untuk melindungi kebajikan pelajar pelatih.

"Insya-ALLAH bila kertas (cadangan) itu sampai kepada Kementerian Kewangan dan kepada saya, saya akan ambil tindakan yang wajar,” katanya selepas merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini pada Selasa. - Bernama