Polis siasat enam remaja bergaduh

Tangkap layar video menunjukkan seorang remaja 'melayangkan' tendangan kepada salah seorang remaja dalam pergaduhan di Taman Muhibbah, Sungai Siput pada Isnin. Foto: ihsan pembaca
Tangkap layar video menunjukkan seorang remaja 'melayangkan' tendangan kepada salah seorang remaja dalam pergaduhan di Taman Muhibbah, Sungai Siput pada Isnin. Foto: ihsan pembaca
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Polis sudah mengenal pasti enam remaja lelaki yang terlibat dalam pergaduhan selepas video kumpulan itu tular di media sosial.

Video berdurasi 32 saat itu menunjukkan salah seorang remaja bertindak memarahi tiga remaja lain sebelum menumbuk dan menendang mereka sambil diperhatikan dua yang lain.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, satu laporan telah dibuat mangsa yang berusia 16 tahun sekitar jam 6.25 petang pada Isnin.

Menurutnya, siasatan mendapati pergaduhan itu melibatkan mereka yang berusia 16 hingga 19 tahun di tepi padang Taman Muhibbah di sini.

"Kejadian itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap kumpulan remaja yang membuat bising dengan membunyikan ekzos motosikal.

"Susulan kejadian itu, pihak polis akan memanggil beberapa saksi termasuk lima pelajar sekolah dan seorang yang bekerja kampung untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Kata Mohd Khaizam, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan.