Penjaga pusat asuhan didakwa aniaya budak lelaki

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa.
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang penjaga pusat asuhan kanak-kanak swasta didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini pada Selasa atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, minggu lalu.

Bagaimanapun Ng Shu Tian, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganiaya kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di bawah peliharaannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah pusat asuhan kanak-kanak swasta di Taman Molek di sini jam 4 petang pada 22 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Abdul Kohar, manakala tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien dan Ooi Hong Ming.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri di Balai Polis Bukit Gambir, Muar setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.