Warga emas ditahan ikat, heret anjing dengan kereta hingga mati

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang lelaki warga emas disyaki menyebabkan kematian seekor anjing di Kampung Sri Parit, Lukut pada Sabtu ditahan pihak polis semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 44 tahun yang melihat seekor anjing telah diperlakukan dengan kejam sehingga cedera dan berdarah.

"Pengadu telah melihat anjing tersebut diikat dan diheret dengan menggunakan kereta. Akibat kejadian itu, anjing tersebut telah mati," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Katanya, tangkapan dilakukan terhadap pemilik anjing berusia 61 tahun itu kira-kira jam 10.05 malam semalam di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Port Dickson dan direman sehari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan. - Bernama