Polis Johor kenal pasti identiti penganjur pesta seks bebas

Kamarul Zaman
Kamarul Zaman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor memberikan jaminan akan bertindak tegas sekiranya acara 'Gang Bang JB Party' diteruskan sebagai mana dihebahkan di media sosial.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihak polis ketika ini sedang membuat risikan bagi mengenai pasti identiti pihak yang terlibat dalam penganjuran acara tidak bermoral itu.

"Ini pun satu hal, perkara orang tak buat dia nak buat... jadi kita polis ambil tindakan tegas.

"Kita telah jalankan risikan dan mendapat kerjasama daripada orang yang berikan maklumat untuk pastikan perkara ini dapat ditegah, dapat diambil tindakan yang tegas kerana menjadi satu kesalahan yang boleh menggugat ketenteraman awam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Johor bagi Mei 2023 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Selasa.

Minggu lalu, tular poster atau kad jemputan ke acara 'Gang Bang JB Party' dipercayai pesta seks bebas melalui Twitter yang mengatakan acara berkenaan dijangka diadakan pada 20 Jun 2023 mulai 4 petang hingga 9 malam.

Mengulas mengenai kemungkinan pihak penganjur Gang Bang JB Party mengubah tarikh penganjuran acara berkenaan, Kamarul Zaman berkata, orang ramai yang memiliki maklumat mengenainya diminta terus menyalurkan maklumat kepada polis.

"Orang ramai yang memiliki maklumat berhubung perkara ini, diharap dapat terus memberikan maklumat kepada kita," katanya.