Ditolak dari tangga asrama, pelajar terima jahitan bawah mata

Khaw Kok Chin
Khaw Kok Chin
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah institusi pendidikan menengah di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Balik Pulau menerima beberapa jahitan di bahagian muka selepas ditolak oleh rakan sekelasnya.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, mangsa ditolak jatuh dari tangga asrama institusi tersebut pada jam 11 malam, 25 Mei lalu.

Menurutnya, selepas kejadian, mangsa dikejarkan ke Hospital Balik Pulau (HBP) untuk menerima rawatan.

"Mangsa ditolak rakan sekelasnya lalu terjatuh dari tangga dan terkena pada dinding. Akibat daripada itu, mangsa mengalami koyak di bawah mata kanan dan luka di hidung.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke HBP untuk diberikan rawatan sebagai pesakit luar. Bagaimanapun, dia dirujuk ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut untuk memastikan tiada kecederaan dalaman," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Kok Chin berkata, mangsa kini dilaporkan stabil dan siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan mangsa.

"Kita masih menyiasat punca kedua-dua pelajar itu berselisih faham.

"Suspek telah ditahan untuk diambil keterangan namun dibebaskan dengan jaminan polis pada keesokan harinya," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.