Dua pengurus migran ditahan PPM di Tawau

No Image Caption
A
A
A

TAWAU - Pasukan Polis Marin (PPM) menahan empat lelaki dalam satu serbuan di kawasan Kampung Tinagat, Batu 8, Jalan Apas di sini dipercayai cuba menyeludup masuk tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Mohamad Pajeri Ali berkata dalam serbuan pada 11 malam di pondok pengawal di sebuah syarikat perindustrian, mereka yang ditahan ialah seorang pengawal keselamatan tempatan berumur 74 tahun yang bertugas di kawasan itu serta dua lelaki dipercayai pengurus migran dan seorang lelaki yang ditugaskan untuk mengangkut PATI.

Katanya, dua pengurus migran yang ditahan iaitu seorang warga tempatan berumur 26 tahun dan seorang lelaki Indonesia tiada pengenalan diri berumur 30 tahun dan seorang lelaki warga Indonesia, 26, yang ditugaskan untuk mengangkut PATI itu.

"Hasil pemeriksaan di pondok itu mendapati tiga wanita dewasa serta dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan bersembunyi di dalam stor pondok berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, siasatan awal mendapati kesemua migran tersebut tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dan mengaku baru mendarat di pantai Batu 8 Tinagat dari Indonesia.

Mohamad Pajeri berkata selain 11 individu itu yang ditahan, pihaknya turut merampas sebuah Proton Iswara digunakan untuk mengangkut migran itu dan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau.

Sementara itu, di Semporna, Unit Risikan Marin (URM) mengesan dua perahu mencurigakan antara 5.30 hingga 5.45 petang semalam, di Pulau Bum Bum dekat sini.

Berpandukan maklumat URM itu, pasukan peronda PPM memeriksa kedua-dua bot dan empat lelaki dipercayai menangkap ikan menggunakan bahan letupan, ditahan.

Artikel Berkaitan:

"Turut ditemui di dalam ruangan kedua-dua bot itu masing-masing 15 dan lapan kilogram ikan mati dipercayai di bom," katanya.

Mohamad Pajeri berkata kesemua tahanan bot berumur antara 18 hingga 50 tahun yang berasal dari Kampung Labuan Haji itu mengaku melakukan kegiatan berkenaan sejak sekian lama. -Bernama