Empat agensi capai skor penarafan tertinggi MyGPI 2022

Mohd Zuki (dua dari kiri) menyampaikan Sijil Penarafan Malaysian Government Performance Index (MyGPI) Tahun 2022 di Kuala Lumpur pada Ahad.
Mohd Zuki (dua dari kiri) menyampaikan Sijil Penarafan Malaysian Government Performance Index (MyGPI) Tahun 2022 di Kuala Lumpur pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak empat agensi berjaya mencapai kategori platinum dengan skor markah 90 peratus dan ke atas yang merupakan kategori penarafan tertinggi dalam Sijil Penarafan Malaysian Government Performance Index (MyGPI) Tahun 2022.

Empat agensi itu ialah Kementerian Kerja Raya, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Kerja Raya.

Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan Sijil Penarafan MyGPI Tahun 2022 telah disampaikan kepada 26 kementerian, lima agensi pusat dan jabatan utama serta Jabatan Wilayah Persekutuan (sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Wilayah Persekutuan).

“Adalah diharapkan dengan adanya program MyGPI ini, agensi sektor awam dapat meningkatkan lagi usaha-usaha penambahbaikan penyampaian perkhidmatan awam yang memenuhi ekspektasi pihak berkepentingan – rakyat, komuniti bisnes dan pengurusan tertinggi,” menurut kenyataan itu.

Majlis penyampaian Sijil Penarafan MyGPI Tahun 2022 yang melibatkan kluster Kementerian dan kluster Agensi Pusat dan Jabatan Utama (APJU) itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali di Dewan Sri Baiduri, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara di sini pada Ahad.

MyGPI merupakan satu program untuk menilai prestasi agensi sektor awam yang memberi fokus kepada dua dimensi iaitu pengurusan organisasi dan pendigitalan perkhidmatan melalui tadbir urus yang baik ke arah reformasi sektor awam.

Program MyGPI turut menyumbang kepada peningkatan kedudukan negara di peringkat global melalui pengukuhan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat dan komuniti perniagaan. - Bernama