Pearly-Thinaah kalah bermaruah di pentas final Masters Malaysia

Pearly dan Thinaah tampilkan semangat juang tinggi sebelum tumbang di pentas final Masters Malaysia 2023 di Axiata Arena sebentar tadi. - Foto Bernama
Pearly dan Thinaah tampilkan semangat juang tinggi sebelum tumbang di pentas final Masters Malaysia 2023 di Axiata Arena sebentar tadi. - Foto Bernama
A
A
A

BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah terpaksa akur tumbang di tangan gandingan nombor enam dunia dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee di pentas final Masters Malaysia 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.

Pearly-Thinaah yang menduduki ranking ke-11 dunia menampilkan semangat juang tinggi sebelum tewas dalam pertarungan tiga set 20-22, 21-8, 17-21 dalam masa satu jam 41 minit.

Kekalahan itu menyaksikan Pearly-Thinaah gagal mengikut jejak langkah bekas beregu wanita negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui yang muncul juara edisi 2012.

Dalam laluan ke pentas final, Pearly-Thinaah yang tampil selaku pilihan kejohanan pada edisi kali ini berjaya mencuri tumpuan bermula aksi pusingan kedua.

Pada aksi pusingan kedua, Pearly-Thinaah berjaya mencipta antara rekod rali terpanjang dunia dengan melakukan 211 pukulan ketika menentang beregu Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto dalam masa tiga minit 35 saat.

Dalam aksi penuh dramatik yang memakan masa selama satu jam 29 minit itu, Pearly-Thinaah merekodkan kemenangan 21-17, 18-21, 21-19

Di peringkat suku akhir, Pearly-Thinaah mempamerkan kebangkitan sensasi apabila menang 13-21, 21-19, 21-16 ke atas satu lagi wakil Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dalam pertarungan memakan masa hampir dua jam.

Pada aksi separuh akhir, Pearly-Thinaah berjaya menewaskan beregu berpengalaman Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong 21-19, 23-21 dalam masa satu jam 33 minit.