Mohd Juwaidi, Cheong Min Olahragawan dan Olahragawati Melaka ke-37

Mohd Juwaidi (kiri) dan Tan Cheong Min dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Melaka ke-37.
Mohd Juwaidi (kiri) dan Tan Cheong Min dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Melaka ke-37.
A
A
A

ATLET memanah compound negara, Mohd Juwaidi Mazuki dan atlet wushu, Tan Cheong Min dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Melaka, dalam majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka kali ke-37 di sini, malam ini.

Selaku pemenang, Mohd Juwaidi dan Cheong Min masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil.

Anugerah disampaikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, dalam majlis yang berlangsung di Bandar Hilir di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Menteri, Adly Zahari.

Mohd Juwaidi, cemerlang di Sukan Asia serta Sukan Sea dan meraih pingat dalam kedua-dua temasya berkenaan selain merupakan pemegang tiga rekod kebangsaan bagi acara jarak 50 meter (individu), 50m double dan campuran.

Cheong Min pula memenangi masing-masing satu pingat emas, perak dan gangsa pada Kejohanan Wushu Dunia ke-14 di Kazan, Russia, serta berada di kedudukan keempat pada Sukan Asia 2018 di Jakarta, Palembang.

Juwaidi ketika ditemui pemberita berkata pengiktirafan itu disifatkan sebagai pembakar semangat bagi meraih lebih banyak kejayaan di masa akan datang, selain bertekad memenangi tiga pingat emas pada Sukan Sea 2019 di Manila, Disember depan.

"Syukur dan rasa gembira kerana saya tidak menyangka kemenangan ini dan saingan bagi kategori ini juga agak sengit kerana Goh Soon Huat (badminton) turut berada dalam senarai kerana memenangi pingat perak pada Sukan Komanwel 2018," katanya.

Anugerah Olahragawan Harapan pula menjadi milik atlet skuasy, Siow Yee Xian, manakala pemain badminton remaja negara Toh Ee Wei dipilih sebagai Olahragawati Harapan.

Artikel Berkaitan:

Anugerah berpasukan pula dimenangi pasukan futsal lelaki manakala pasukan golf wanita pula mengungguli kategori Pasukan Wanita Terbaik, sementara Ketua Jurulatih futsal, Mohamad I'sah Abd Rahim dipilih sebagai Jurulatih/Pengurus Terbaik. - Bernama